Panasnya Hari Ini

Calon keluarga warnai PRU14

PILIHAN raya umum bagi penggal ke-14 kali ini dilihat semakin menarik dari sisi lain dengan penyertaan ramai calon yang mempunyai hubungan kekeluargaan.

Terdapat calon adik-beradik, ibu dan anak yang bertanding dalam parti yang sama tapi di kawasan berlainan, ada juga dari parti berlainan dan bertanding di kawasan yang sama.

Di negeri ini, paling mencuri tumpuan tentunya pertembungan pasangan adik-beradik, tidak lain tidak bukan, Naib Presiden Pakatan Harapan (Harapan), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan adiknya, Azwan Ali yang cukup terkenal dengan kontroversi.

Mereka bertembung dalam pertandingan lima penjuru bagi merebut kerusi N19 Dun Bukit Antarabangsa bersama tiga lagi pencabar lain iaitu Salwa Yunus dari BN, Syarifah Hazlizah Syed Ariffin (Pas) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Ahmad Kamarudin.

Azwan sah bertanding sebagai calon Bebas dengan menggunakan logo gajah, selain memperjuangkan manifestonya berkonsepkan #rakyatnomborsatu pada PRU14 dengan tumpuan memberi kesenangan dan pelbagai kemudahan kepada rakyat.

Bagaimanapun, penampilan serta karakter Azwan yang lebih santai dan ‘gila-gila’ dilihat sangat jauh berbeza daripada Mohamed Azmin yang sudah terkenal dengan kredibilitinya sebagai pemimpin nombor satu Selangor dan berpengalaman luas dalam bidang politik.

Malah, hubungan dingin antara kedua-dua calon adik-beradik ini juga sudah diketahui umum sejak sekian lama dan ia dipercayai bakal memberi kesan lebih buruk setelah kedua-dua mereka bertanding di tempat yang sama.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR sebelum ini memberi respons tegas apabila diajukan berhubung penyertaan adiknya sebagai calon di kawasan sama, malah turut mempersoalkan agenda Azwan untuk bertanding demi rakyat atau sekadar mengikut telunjuk segelintir pihak.

Katanya, sesiapa pun boleh bertanding kerana akhirnya perlu menyerahkan kepada kebijaksanaan rakyat untuk membuat pilihan.

“Pengundi hari ini, khususnya golongan milenium amat matang dan mereka mahu wakil atau parti yang boleh membentuk kerajaan. Apa sekalipun, kehadiran Azwan tidak menjejaskan langsung gerak kerja saya,” katanya.

Azwan sebelum ini dalam reaksinya memberi peringatan kepada Mohamed Azmin supaya menghentikan segala tuduhan terhadap dirinya.

“Mohamed Azmin hanya mahu ‘mileage’ serta terdesak menjadi calon. Aku tak kutuk kau, boleh tak kau diam, bila masa aku dapat dana, buktikan la,” tegasnya dalam satu sidang media.

Ibu dan anak jadi calon

Selain itu, siapa tidak kenal pasangan anak beranak yang turun di medan PRU14 kalau bukan Presiden Pakatan Harapan (Harapan), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya Nurul Izzah Anwar.

Kali ini, Nurul Izzah berjuang di kerusi Permatang Pauh yang menjadi kerusi tradisi keluarga itu sejak 1982 menggantikan ibunya.

Sementara Wan Azizah pula, bertanding di Parlimen Pandan yang juga boleh dianggap kubu kuat PKR.

‘Kami hormat pendirian masing-masing’

Pasangan calon adik-beradik berlainan parti. Adik calon Pakatan Harapan (Harapan) dari Amanah, Khalid Abdul Samad sementara abang pula, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mewakili BN bertanding di Parlimen Johor Bahru.

Khalid ketika ditemui Sinar Harian menyifatkan penyertaan beliau dan abangnya dalam pilihan raya sebagai perkara biasa dan bukan masalah besar kerana soal politik adalah hak atau pilihan masing-masing.

Beliau berkata, lagipun ia tiada kaitan dengan persoalan akidah sehingga menyebabkan dirinya atau Shahrir terkeluar dari agama kerana berfahaman politik berbeza.

“Perbezaan pandangan itu biasa dan tidak perlulah sampai berbalah sehingga putus hubungan persaudaraan.

“Saya dan Shahrir memahami dan menghormati pendirian masing-masing kerana kami juga melalui pengalaman hidup berbeza yang kemudiannya menentukan fahaman dan pilihan kami dalam politik… apa yang penting soal kekeluargaan dan politik itu tidak dicampur-adukkan,” katanya yang menganggap PRU14 sebagai pertandingan yang sihat antara mereka.

Profesional dalam berpolitik

Bagi pasangan adik beradik, Naib Pengerusi DAP Selangor yang juga Exco Selangor, Datuk Teng Chang Kim dan adiknya, Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow, mereka profesional dalam berpolitik.

Kedua-dua mereka dicalonkan untuk PRU14 masing-masing bagi kerusi Dun Sungai Pinang (kini Bandar Baru Klang) dan Dun Pulau Pinang.

Chang Yeow yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, sebelum ini dilaporkan media berkata, bahawa pencalonan dibuat berdasarkan keperluan semasa parti masing-masing tanpa mengambil kira sentimen kekeluargaan yang mungkin ada bagi setiap calon.

Menurutnya, beliau dan Chang Kim sangat profesional dalam hal tersebut dan masing-masing bijak memisahkan antara faktor perbezaan fahaman politik dan keluarga.

“Tiada pergaduhan mahupun pertengkaran berlaku antara kami sepanjang persiapan menempuhi PRU14.

“Tidak wujud juga isu berkecil hati sekiranya salah seorang menang atau kalah pada mana-mana pilihan raya kerana kami sangat profesional ketika berdepan perkara ini,” katanya.

Pertahan kerusi tradisi keluarga

Sebahagian calon PRU14 kali ini juga dilihat bertanding untuk mengekalkan kerusi disandang keluarga yang menjadi kubu kuat mereka.

Tiga anak kepada bekas Pengerusi DAP, mendiang Karpal Singh iaitu Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh dan Jagdeep Singh Deo masing-masing mempertahankan kerusi masing-masing iaitu Parlimen Puchong, Parlimen Bukit Gelugor dan Dun Datuk Keramat.

Ramkarpal sebelum ini memenangi kerusi tersebut pada PRK Parlimen Bukit Gelugor (2014), susulan kematian bapanya dalam kemalangan jalan raya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");