Berita Hari Ini

Contohi Pentadbiran Zaman Nabi Muhammad, khalifah

SHAH ALAM – Kerajaan baharu diseru mencontohi kepimpinan Nabi Muhammad SAW dan khalifah dalam mengurus pentadbiran negara dengan amanah, jujur serta menunjukkan teladan baik kepada rakyat.

Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ia merupakan kunci dalam setiap pemerintahan bagi membina sebuah negara yang cemerlang dari pelbagai aspek.

“Kebaikan sesebuah negara bergantung kepada teladan pemerintahnya. Maka, teladan yang baik hendaklah dilakukan semua orang yang mempunyai kedudukan supaya mereka amanah terhadap harta negara dan negeri, amanah terhadap pengurusan pejabat kerajaan dan apa sahaja kepada kita.

“Namun dukacitanya, negara-negara yang bukan Islam dan maju, walaupun tidak pernah mempunyai khutbah berbunyi agama, mufti dan badan agama, tetapi mereka mampu berdisiplin sehingga menyebabkan urus tadbir mereka lebih baik dan bebas atau kurang kes rasuah di dalam negara mereka sendiri,” katanya dipetik menerusi video khutbah Jumaat, bertajuk Ingatan Kepada Kerajaan Baharu lapor Sinar Harian.

Justeru, Mohd Asri menyeru pemimpin dan rakyat saling ingat mengingati antara satu sama lain menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran, selain menegur kesalahan dalam membina negara dengan penuh rasa cinta.

“Nabi Muhammad SAW juga begitu cintakan Makkah dan berasa berat hati ketika dihalau meninggalkan Kota Makkah, sebelum akhirnya kembali ke Makkah dan membuka Kota Makkah dalam keadaan tawaduk (rendah diri).

“Kita juga sayangkan Malaysia dan mesti mencuba untuk memajukannya dengan sedaya upaya,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga perlu melihat kemiskinan dan kesusahan rakyat, serta menyelesaikan masalah mereka seperti mana yang dilakukan ketika zaman pemerintahan Muawiyah Abu Sufyan.

“Setiap kamu bertanggungjawab dan akan ditanya tanggungjawab yang dipikulnya pada hari kiamat kelak.

“Setelah kita tunaikan tanggungjawab kita (mengundi) dua hari lepas, marilah sama-sama kita mengukuhkan negara ini, kuatkan kedudukan negara dan membina semula negara, selain amanah dengan setiap tugasan dan tanggungjawab yang diberikan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");