Jenayah

Cuba Serang Pegawai Polis, Empat Lelaki Ditahan

IPOH: Empat pelanggan lelaki di sebuah pusat hiburan di sini ditahan selepas cuba menyerang pegawai polis yang melakukan Ops Noda awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, SAC Yahya Abd Rahman, berkata empat lelaki berkenaan yang berumur 30 hingga 40-an itu cuba menyerang pegawai polis menggunakan sebuah bangku.

“Kita akan buka kertas siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan terhadap empat lelaki itu kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Mereka tidak sepatutnya berbuat begitu kerana bukan sahaja menghalang penjawat awam menjalankan tugas malah cuba menyerang pegawai polis. Sama ada mereka di bawah pengaruh dadah atau alkohol kita (polis) akan lakukan siasatan lanjut” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai operasi yang dijalankan oleh Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap IPK itu, Yahya berkata seramai 12 pelacur termasuk seorang mak nyah dari Thailand dan Laos serta lapan pelayan pelanggan (GRO) dari Vietnam ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Ipoh.

Turut ditahan empat penjaga premis dan 24 pelanggan, katanya.

“Dalam serbuan pertama di sebuah hotel bajet di Jalan C.M Yusuff, polis menahan 12 pelacur, dua penjaga lelaki berumur 41 dan 48 tahun dan lima pelanggan yang terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga Indonesia dan tiga lelaki warga Nepal.

“Dalam serbuan kedua di Jalan Mustapha Al-Bakhri, polis menahan dua penjaga premis termasuk seorang wanita, lapan GRO warga Vietnam, 18 pelanggan lelaki warga tempatan dan seorang pelanggan wanita warga tempatan,” katanya.

Katanya polis turut merampas wang tunai berjumlah RM6,654 serta barangan lain termasuk kondom serta sebuah buku yang mencatat jualan minuman keras.

Menurut Yahya kesemua 48 individu yang ditahan dalam operasi yang bermula 9.30 malam hingga 3 pagi berumur 25 hingga 48 tahun terbabit dibawa ke IPK Perak untuk urusan dokumentasi.

Penyiasatan dibuat mengikut Seksyen 55 (B) Akta Imigresen 1953; Seksyen 39 (B) Akta Imigresen 1963; Seksyen 373, Seksyen 372 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");