Berita Hari Ini

Cuepacs Tak Terima Aduan Penjawat Awam Kontrak Diberhentikan

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Kerajaan (Cuepacs) tidak menerima sebarang aduan berhubung kakitangan awam kontrak yang diberhentikan kerja.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, tidak ada individu (kakitangan awam kontrak) yang mengadu kepada kesatuan berhubung perkara itu.

“Beri peluang kepada Tun (Dr Mahathir) sebagai Perdana Menteri dan saya fikir beliau faham mengenai penjawat awam ini.

“Kalau pun keputusan itu dibuat bukannya menutup pintu kepada mereka untuk memohon jawatan jika ada (jawatan tetap),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Azih berkata, Cuepacs tidak boleh menyiasat dakwaan yang ditularkan kerana ia tidak datang dengan laporan atas dakwaan daripada individu yang mungkin terlibat.

Bagaimanapun Azih berkata, sekiranya selepas ini pihaknya menerima aduan seperti itu, Cuepacs akan membuat susulan kepada kerajaan bagi mengetahui bagaimana ia boleh berlaku dan implikasi yang mungkin dihadapi kepada penjawat awam terbabit.

Dalam pada itu beliau menegaskan, Cuepacs mengalu-alukan janji Pakatan Harapan yang tidak akan mengurangkan bilangan kakitangan awam yang berjumlah 1.6 juta orang pada masa ini.

Katanya, sebilangan mereka yang menjadi penjawat awam pada masa ini juga pernah berkhidmat ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri dahulu.

“Mereka ini juga tergolong dalam 1.6 juta penjawat awam itu,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai kakitangan awam yang menerima jawatan sebagai lantikan politik seperti Setiausaha Akhbar dan sebagainya, Azih berkata, sekiranya pemberhentian tugas berlaku ia tidak boleh dianggap sebagai dibuang kerja.

Sebaliknya kata beliau, ia bergantung kepada kerajaan yang memerintah kerana pelantikan itu adalah pelantikan sebagai penasihat dan ia adalah perkara biasa (jika diberhentikan).

Sejak semalam, tular di media sosial apabila ada segelintir kakitangan awam kontrak mengadu kepada netizen berkenaan nasib mereka apabila menerima notis pemberhentian kerja selepas kerajaan bertukar.

Terdahulu, Azih mengadakan perjumpaan dengan anggota Cuepacs bagi membincangkan perkara-perkara tertentu membabitkan kakitangan awam selepas kerajaan Persekutuan bertukar kepada Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");