PUTRAJAYA -Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengesahkan bahawa Lembaga Disiplin UMNO telah memecat tiga veteran UMNO yang juga bekas menteri iaitu Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Rais Yatim.
Beliau berkata, surat pengguguran keahlian mereka telah ditandangani olehnya semalam.
“Saya berada di ibu pejabat UMNO semalam dan sudah menandatangani surat pengguguran keahlian mereka.
“Mengikut perlembagaan parti mereka sebagai veteran UMNO tahu bahawa tindakan mereka itu salah apabila berceramah di atas pentas pembangkang,” katanya, lapor Utusan Online.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan ketiga-tiga bekas menteri terbabit yang kini menyokong pembangkang.
Tambah Tengku Adnan lagi, beliau tidak bertindak berdasarkan ‘cakap-cakap’ sebaliknya sudah memperoleh bukti bergambar.