Perak Hari Ini

Daim, Rafidah Dipecat: Semua Parti Akan Buat Perkara Sama – Zambry

MANJUNG: “ Semua parti akan mengambil tindakan yang sama”; demikian kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika diajukan soalan berkenaan tindakan Lembaga Disiplin UMNO yang memecat keahlian Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rafidah Aziz.

Jelasnya, tidak ada satu parti pun yang akan membenarkan ahlinya berada di atas pentas pihak lawan, termasuk dalam kalangan parti-parti pembangkang.

“Ia termaktub dalam mana-mana peraturan dan perlembagaan parti. Contohnya, DAP. Mana mungkin mereka tidak akan pecat ahli dia kalau terdapat ahli yang berada di atas pentas parti yang berlawanan dengannya.

“Begitu juga dengan PPBM (Parti Pribumui Bersatu Malaysia), Pas dan lain-lain. Semua parti ada peraturan mereka,” jawabnya dengan ringkas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam satu program Santai Anak Muda di Pusat Membeli Belah Aeon Seri Manjung, dekat sini, pada Ahad.

Hadir sama, calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim.

Semalam, media tempatan melaporkan kedua-dua ahli veteran UMNO itu dipecat daripada parti selain Tan Sri Rais Yatim disiasat.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata tindakan itu diambil apabila ketiga-tiga mereka secara terbuka menghentam parti serta menyokong pembangkang dalam musim kempen Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14).

Rafidah dan Daim dikatakan hadir pada ceramah kempen Pakatan Harapan (PH) di Melaka pada Jumaat malam.
Antara intipati ucapan Rafidah dalam ceramahnya ialah mengajak pengundi ‘mengubah kontraktor’, yang ditujukan kepada BN, untuk menerajui negara.

“Batalkan kontraktor lama supaya PH boleh memperbetulkan segala kesilapan yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Rais pula sejak kebelakangan ini, sering memuatnaik status dan tulisan yang condong kepada pembangkang menerusi laman media sosialnya.

Selain isu pergantungan sementara PPBM oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia bulan lalu, beliau juga turut memuatnaik gambar-gambar ceramah pembangkang di Kuantan dan Putrajaya, baru-baru ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");