Berita Hari Ini

DAP tidak jaga kepentingan UiTM – Najib

RAUB: Parti pembangkang terutama DAP tidak mempunyai agenda untuk menjaga kepentingan Bumiputera seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, rakyat juga tidak boleh mengharapkan DAP menjaga kepentingan dan martabat universiti yang sudah mengeluarkan ramai graduan Bumiputera berjaya dalam pelbagai bidang.

“Nak harap (pemimpin DAP) Nga Kor Ming, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng jaga kepentingan UiTM? Mereka tidak ada agenda sedemikian.

“Rakyat jangan tertipu sekali lagi, begitu juga penduduk Raub. Rakyat perlu fikir pilihan raya umum 9 Mei ini adalah peperangan besar, bukan pertempuran kecil.

“Jika Barisan Nasional (BN) menang pada 9 Mei ini dan tubuh kerajaan yang kuat, maka kita akan terus pertahankan kepentingan UiTM dan menjadikannya pemangkin pembangunan di kawasan sekitar,” katanya ketika merasmikan UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub, di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra bersama para pelajar selepas Majlis Perasmian Univeriti Teknologi Mara Cawangn Pahang Kampus Raub. – Foto Sairien Nafis
Lebih 10,000 orang hadir pada majlis berkenaan.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Noorul Ainur Mohd Nur; dan Naib Canselor UiTM, Professor Emeritus Datuk Dr Hassan Said.

Turut kelihatan ialah calon BN Parlimen Raub, Datin Paduka Chew Mei Fun; calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong yang juga Ketua UMNO Bahagian Raub, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin; calon DUN Batu Talam, Datuk Aziz Mat Kiram dan calon Tras, Ng Leap Pong.

Najib yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Pekan berkata, rakyat perlu bijak memilih kerajaan pada 9 Mei ini, bagi memastikan segala nikmat pembangunan dan peluang pendidikan yang disediakan dapat diteruskan.

“Rakyat perlu pilih pihak yang beri kita manfaat, apa gunanya menang sorak tetapi kampung tergadai.

“Kita boleh pilih sesiapa saja tetapi pertimbangan yang paling perlu diutamakan adalah sama ada pihak itu boleh bawa kehidupan kita yang lebih baik atau tidak pada masa akan datang.

“Siapa? Adakah DAP, pakatan (pembangkang)? Selama 60 tahun siapa yang jaga kita, siapa buat pembangunan, bukankah kerajaan BN daripada kita kecil sehingga kita besar, termasuk UiTM, siapa yang jaga pemimpin mana yang bawa UiTM ke tahap ini, bukankah pemimpin BN,” katanya.

Perdana Menteri berkata, hasil penubuhan universiti itu, ramai golongan Bumiputera memegang jawatan penting sama ada dalam agensi kerajaan, swasta dan korporat.

“UITM membantu mobiliti sosial tanpa mengira latar belakang. Mereka yang ada di kampung paling tersorok hari ini pun berpeluang masuk situ, malah menerusi program khas turun padang dari kampung ke kampung yang dilakukan oleh institusi ini berjaya mengubah destinasi anak bangsa.

“Kita cari pelajar yang kurang kemampuan dan pencapaian dalam pelajaran kerana masalah kemiskinan untuk beri pendedahan kepada mereka mengenai pentingnya pendidikan untuk masa hadapan,” katanya.

Najib yang juga Pengerusi BN kemudian mengadakan pertemuan tertutup hampir setengah jam bersama kepemimpinan BN bahagian Raub termasuk calon yang bertanding.

INFO

UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub

* Keluasan 32.3 hektar

* Kos RM220 juta

* 3,000 pelajar

* 200 pensyarah dan kakitangan

* mula dibina pada 1 November 2012

* siap 31 Oktober 2015

* mula beroperasi 29 November 2015

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");