Berita Hari Ini

Gesa Kerajaan Batalkan Lesen Peniaga Warga Asing

BUKIT MERTAJAM – Kerajaan Pakatan Harapan perlu memandang serius isu lambakan warga asing di negara ini selain membatalkan lesen kedai yang diusahakan oleh mereka di negara ini.

Ahli Majlis Seberang Perai (MPSP) David Marshel berkata, pihaknya mendapati peniaga warga asing bukan sahaja sudah menguasai lot kedai, pasar minggu serta pasar malam malah ada juga di kalangan mereka telah menjalankan perniagaan borong dan runcit di beberapa kawasan tumpuan kumpulan ini.

Menurutnya, jika dahulu kehadiran mereka ke negara ini hanya sekadar pekerja ladang dan buruh kasar tetapi kini, mereka bukan sahaja sudah mendominasi kaum tertentu di Malaysia malah turut meraih kekayaan.

“Bagaimana mereka begitu mudah mendapatkan lesen perniagaan tanpa sebarang sekatan walhal rakyat Malaysia sendiri berdepan dengan pelbagai dugaan ketika cuba berniaga atau menubuhkan syarikat?” katanya, sebagaimana dilaporkan Sinar Online.

David yang juga Presiden Tamilar Kural Malaysia berkata, isu berkenaan telah lama dibangkitkan terutamanya mengenai isu kebanjiran warga asing di negara ini namun sehingga sekarang belum ada sebarang solusi yang dapat dilalukan oleh kerajaan.

Katanya, kebanyakan warga asing datang ke sini mencari peluang perniagaan dengan mempergunakan rakyat tempatan.

“Mereka membuat pelbagai aktiviti perniagaan selain dari kerja, kesian pada pemilik kedai runcit rakyat Malaysia yang tertekan dengan pelbagai kos tapi warga asing tidak perlu bayar apa-apa cukai tetapi masih mampu menjalankan perniagaan runcit dan kontraktor.

“Apa yang sangat menyedihkan, rakyat kita pula bertuankan warga asing. Dengan adanya kerajaan baru ketika ini, saya mohon keluh kesah ini segera diperdengarkan dan kerajaan baharu ini perlu bertindak membatalkan semua lesen kedai runcit milik warga asing,” katanya.

David berkata, hasil pemantauan yang dilakukan mendapati kebanyakan mereka menggunakan lesen milik warga tempatan yang disewakan kepada warga asing.

“Semua ini harus di hentikan segera. Lihat sahaja Bukit Mertajam yang kini menjadi ‘Pekan Bangla’ pada hujung minggu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");