Berita Hari Ini

GST bukan punca kenaikan harga barang

KUALA LUMPUR – Rakyat akan mengalami kerugian jika cukai GST dimansuhkan dan SST diguna pakai semula, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Najib, manifesto pembangkang adalah contoh hasutan dan mainan persepsi kerana GST bukanlah punca sebenar kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

“Bagi ekonomi yang sedang berkembang, sebahagian kos barangan akan meningkat tetapi selepas kita perkenal GST di Malaysia, kerajaan memberi pengecualian kira-kira 600 barangan dan perkhidmatan.

“Malaysia merupakan satu-satunya negara yang memberi pengecualian seperti itu.

“Janji pihak pembangkang mengenai GST adalah tidak realistik dan harga barangan tidak semestinya akan turun sekiranya GST dimansuhkan kerana harga barangan bukanlah dikawal oleh kerajaan,” katanya, malam ini.

Najib menegaskan, kadar GST di Malaysia adalah antara terendah, iaitu hanya enam peratus.

Menurutnya, pelaksanan cukai tersebut adalah perlu bagi persediaan jangka panjang apabila Malaysia mengurangkan kadar kebergantungan kepada minyak sebagai punca pendapatan negara.

“Kita hanya menghasilkan 600 tong minyak dan kita sepatutnya berhadapan kemelesetan ekonomi ketika harga minyak dunia merudum pada dua tahun lalu, tetapi GST menyelamatkan negara,” katanya.

Najib berkata, pengenalan GST dirancang lebih awal, namun cadangan itu tidak dilaksanakan kerana bimbang ia akan memberi kesan politik.

“Tetapi ini adalah untuk kesejahteraan rakyat, mungkin kita terpaksa hadapi kesan dari aspek tindak balas politik, tetapi lambat laun rakyat akan sedar bahawa ini (pelaksanaan GST) merupakan langkah yang paling baik dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, RM43 bilion hasil GST berjaya dikutip tahun lalu bagi menampung antaranya perkhidmatan kesihatan, kenaikan gaji tahunan penjawat awam, pengurangan dua peratus cukai pendapatan, bantuan kepada pekebun kecil, bayaran khas kepada penjawat kerajaan dan pesara serta BR1M.

Di samping itu, kata Najib yang juga menteri kewangan, kerajaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada pendapatan negara kasar, malahan mengambil kira kebajikan dan jurang pendapatan rakyat.

“Jadi kalau kita mengamalkan ekonomi yang bebas dan terbuka tanpa adanya intervensi dari kerajaan, maka jurang pendapatan akan melebar di antara golongan isi rumah berpendapatan tinggi, berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40).

“Kita ambil ketetapan mesti ada keadilan sosial sebab itu kita perkenal BR1M, kos kesihatan minimum, pengangkutan awam dan sebagainya,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");