Berita Hari Ini

Hishammuddin lakukan kesalahan di bawah Akta Pilihan Raya?

SHAH ALAM – Persatuan Patriot Kebangsaan mendakwa Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mungkin telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Presidennya, Briged General Datuk Mohamed Arshad Raji (B) berkata, berdasarkan laporan Bernama, Hishammuddin mengingatkan anggota tentera untuk mengembalikan BN membentuk kerajaan dengan margin yang besar supaya agenda dapat direalisasikan.

Menurutnya, agenda-agenda tersebut adalah pendidikan, penjagaan kesihatan, perumahan, kebajikan veteran, dan arah tuju untuk memastikan kesediaan pertahanan dan keselamatan negara.

“Dengan membuat kenyataan itu, menteri pertahanan boleh dianggap telah menggunakan ancaman, mendorong, atau cuba untuk mendorong anggota tentera untuk mengundi BN.

Oleh itu, dia mungkin melakukan kesalahan ‘Pengaruh Tidak Wajar’ (Undue Influence) di bawah Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.

Menurut Mohamed Arshad, berdasarkan akta berkenaan, seseorang yang mengancam untuk menimbulkan kerugian temporal kepada mana-mana orang untuk mendorong orang itu untuk mengundi atau menahan diri daripada mengundi, telah melakukan kesalahan ‘Pengaruh Tidak Wajar’.

“Selain itu, ia juga disifatkan mengganggu hak kebebasan memilih seseorang,” ujarnya.

Beliau sebaliknya menegaskan, bukan agenda menjadi keutamaan, tetapi bagaimana pegawai kerajaan melaksanakan rancangan itu.

“Yang penting, tiada rasuah, tiada pembaziran, dan tiada kronisme dalam pemberian projek,” katanya lagi.

Ujarnya, jika projek-projek yang dirancang adalah baik untuk rakyat dan negara, mana-mana kerajaan yang bersih juga boleh melaksanakan projek-projek tersebut.

“Apa yang paling penting ialah kerajaan yang bersih,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");