Berita Hari Ini

Jabatan Perhutanan agih 2,000 pokok nadir percuma

PEKAN: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) mengagihkan sebanyak 2,000 pokok nadir secara percuma kepada penduduk lima kampung di daerah ini untuk di tanam di kawasan rumah masing-masing.

Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Akhirrudin Mahmud berkata, empat jenis pokok yang diberikan kepada penduduk kampung ialah asam jawa, mangga, kelapa pandan dan ciku.

Beliau berkata, program kali pertama diperkenalkan yang turut mendapat kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang bertujuan menghijaukan kawasan kampung selain dapat menjadi sumber pendapatan tambahan kepada penduduk.

Katanya, walaupun tanah di sini jenis berpasir namun dengan penjagaan yang baik, pokok kelapa pandan, mangga, ciku dan asam jawa boleh hidup subur serta mengeluarkan buah setiap tahun.

“Saya berharap menerusi program pemberian empat jenis pokok nadir itu usaha menghijaukan kawasan di enam kampung tradisional di daerah ini menjadi kenyataan dalam masa tiga hingga lima tahun akan datang.

“Tidak mustahil suatu hari nanti Kuala Pahang dan beberapa kampung berhampiran menjadi pengeluar buah mangga terbesar di daerah ini,” katanya pada program Pemuliharaan Pesisiran Pantai bersama Komuniti Daerah Pekan di Kuala Pahang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Perhutanan Negeri, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin. Program berkenaan dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azizan Ahmad yang mewakili Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Lebih 2,000 pengunjung hadir pada program itu yang turut diadakan aktiviti menanam 500 pokok ru pantai dan ketapang selain pelbagai acara seperti pertandingan mewarna, senamrobik, cabutan nombor bertuah, pameran serta swafoto.

Nor Akhirrudin berkata, bagi mengawal berlakunya kejadian hakisan pantai di kawasan perumahan bersepadu Kuala Pahang yang terletak berhampiran laut, sebanyak 1,500 pokok ru pantai dan ketapang akan ditanam oleh Jabatan Perhutanan negeri.

Beliau berkata, program penanaman pokok di pesisir pantai di negeri ini sudah lama dilakukan dalam usaha mengawal kejadian hakisan selain angin kencang yang boleh menyebabkan kerosakan rumah serta harta benda penduduk setempat.

“Program yang bermula selepas kejadian tsunami itu turut menjadi produk pelancongan, sebagai contoh kawasan tanaman pokok ru di Pantai Sepat, di sini kini menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar Pahang untuk berkelah.

“Setakat ini, seluas 2,605 hektar kawasan pesisiran pantai negara sudah ditanam dengan 6.3 juta spesies pokok bakau dan beberapa jenis lain sejak 2015,” katanya.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");