Perak Hari Ini

Jadilah Pembangkang Yang Matang

GERIK – Wakil rakyat dari BN Perak perlu bekerjasama dengan pemimpin Pakatan Harapan dalam membangunkan sesuatu kawasan termasuk Hulu Perak.

Pengerusi Persatuan Anak Gerik di Perantauan (Pagar), Tajuddin Mohd Ali berkata, pembangkang bukan sekadar pengimbang kepada pentadbiran kerajaan malah boleh bersama membangunkan negara.

Justeru katanya, BN harus menerima kekalahan dengan meneruskan rutin biasa sebagai wakil rakyat kerana mereka dipilih untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat.

“Untuk jadi pembangkang yang baik, wakil rakyat perlu bekerjasama mencadangkan agenda setempat untuk dilaksanakan kerajaan negeri dan Pusat.

“Mungkin mereka boleh mengemukakan kertas cadangan pembangunan atau program jangka panjang untuk rakyat di kawasan mereka. Kerjasama sebegitu pastinya menguntungkan rakyat.

“Tidak menjadi parti pemerintah bukan bermakna tugas boleh diabaikan malah perlu diutamakan untuk dapatkan semula sokongan masyarakat,” katanya.

Katanya, semua wakil rakyat perlu matang dalam berpolitik dan lupakan seketika ideologi masing-masing demi pembangunan kawasan mereka.

Sementara itu, Tajuddin menggesa pemimpin di Hulu Perak menyelesaikan segera isu penagihan dadah yang agak membimbangkan melibatkan generasi muda.

“Kerjasama perlu diwujudkan bagi memantau dan menangani gejala dadah di Hulu Perak, selain pacu aktiviti ekonomi dari aspek pelancongan, pertanian dan penternakan.

“Jika dibandingkan daerah lain di Perak, Hulu Perak masih ketinggalan dari infrastruktur, kemudahan komunikasi dan pusat kegiatan ekonomi.

“Wakil rakyat perlu memikirkan program pembangunan jangka panjang untuk generasi masa depan dari segi ekonomi dan kerjaya,” ujarnya.-Sinar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");