Berita Hari Ini

Jamal Beri Keterangan Polis Esok

SHAH ALAM: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos akan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk memberi keterangan kepada pihak polis, petang Rabu.

Jamal menerusi rakaman suara yang dihantar beliau dalam aplikasi WhatsApp kumpulan media  memberitahu akan mengadakan sidang media sejurus selepas itu.

Katanya, sidang media tersebut berhubung kemelut yang dihadapinya ketika ini.

“Saya akan membuat sidang media berhubung kemelut kononnya saya melarikan diri daripada reman… daripada kawalan polis, sebenarnya perkara ini tidak berlaku, cuma sedikit salah faham seperti saya telah nyatakan sebelum ini.

“Untuk menyelesaikan kemelut ini saya akan hadir ke IPD Ampang Jaya lebih kurang jam 2 petang,” katanya.

Pada Isnin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat memberitahu Jamal masih belum tampil bertemu pihak polis bagi menyelesaikan dokumentasi jaminan mahkamahnya.

Terdahulu kehilangan Jamal sebelum ini disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira 5.30 petang, Jumaat lalu.

Pada 10.45 pagi hari kejadian, Jamal didakwa atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam tahun lepas.

Jamal bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di  hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin daripada Mahkamah Majistret Shah Alam.

Sementara itu, Peguamnya, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, Jamal sudah menghubunginya dan memaklumkan sedia memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk menyempurnakan proses berkenaan.

Katanya, situasi salah faham yang berlaku itu telah dieksploitasi dengan tanggapan negatif terhadap anak guamnya.

Jamal berhadapan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM400, jika sabit kesalahan dan mahkamah membenarkan Jamal diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 8 Jun ini untuk sebutan semula kes.-Sinar Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");