Berita Hari Ini

Jangan Hukum Najib Dengan Undang-Undang Rimba: Anwar

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak tidak boleh dijatuhkan sebarang hukuman sebelum benar-benar terbukti bersalah.

Ketua umum Pakatan Harapan itu berkata tindakan terhadap Najib hendaklah mengikut proses perundangan sebenar dan bukan secara undang-undang rimba.

“Orang kata Najib bersalah, tapi kita kena ikut proses. Saya beritahu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan dia kata, pergi cari dokumen dan sebagainya.

“Saya setuju tapi kena ikut proses. (Perasaan) marah kita, benci kita, jangan menyebabkan kita tinggal landasan hukum. Negara ini ada hukum dan kita berjuang untuk tegakkan negara hukum, bukan hukum rimba.

“Walaupun kita percaya ada cukup alasan untuk mendakwa Najib tapi kita mesti ikut proses yang cukup sebelum dakwa,” katanya di majlis berbuka puasa di kediamannya di Bukit Segambut malam tadi, sebagaimana dilaporkan FMT.

Anwar mengulas tentang proses pencarian bukti yang sedang giat dijalankan pihak berkuasa sekarang ini, dan komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk menyiasat skandal pentadbiran lepas.

Anwar memberitahu hadirin kemenangan Pakatan Harapan tidak bermakna ia membenarkan proses membalas dendam terhadap musuh.

“Jangan kemenangan kita itu menghilangkan rasa syukur kepada Allah. Kalau kita syukur kita kena ikut perintah Allah. Jangan kita kata syukur kepada Allah, kita bantai dia, terus suruh tangkap. Itu namanya dendam.

“Apa yang penting kita tegakkan undang-undang,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");