Isu Panas
Like

Jawatan Tertinggi UMNO Dipertandingkan

May 23, 2018
41 Views
0 Comments
2 minutes read
Jawatan Tertinggi UMNO Dipertandingkan

KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebulat suara bersetuju supaya semua ja­watan di pe­ringkat ter­tinggi dipertandingkan bagi memper­kukuhkan lagi parti.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatan yang akan dipertandingkan termasuk presiden, timbalan pre­siden, naib-naib presiden dan juga ketua-ketua pergerakan.

Beliau memberitahu, mana-ma­na pemimpin dan ahli yang berhasrat menawarkan diri untuk bertanding, mereka diberi peluang mendaftarkan diri secara dalam talian bermula 1 hingga 17 Jun ini.

“Semua jawatan yang ada mengikut Perlembagaan UMNO, bebas dipertandingkan.

“Tidak timbul soal bahawa tidak ada pertandingan bagi jawatan-jawatan tertentu dalam UMNO. Saya dan Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berlapang dada dan bersifat terbuka mahu jawatan ini ditandingi sesiapa sahaja mengikut kriteria yang ditentukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat bulanan MT UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebagaimana dilaporkan Utusan Online.

Selain Hishamuddin, turut ha­dir ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Pergerakan Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin; Ke­tua Puteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ke­tua Penerangan, Tan Sri Annuar Musa.

Tambah Ahmad Zahid, MT UMNO juga telah membentuk sebuah jawatankuasa bertindak yang akan dipengerusikan oleh Ketua Penerangannya.

Katanya, fungsi jawatankuasa tersebut adalah bagi menyelaras semua aktiviti ahli-ahli MT yang menjaga bahagian dan cawangan masing-masing.

Katanya, jawatankuasa berkenaan dibentuk bagi membolehkan ahli-ahli MT turun padang bertemu­ dengan kepimpinan UMNO di pe­ringkat cawangan dan bahagian.

Ahmad Zahid menjelaskan, tujuan pihaknya membuka semua jawatan untuk dipertandingkan bu­kan sekadar pertandingan se­mata-mata, sebaliknya lebih kepada bagaimana UMNO mahu diperkukuhkan.

Malah katanya, penstrukturan semula UMNO akan dilakukan dengan Khairy dilantik mengetuai gerak kerja berkenaan.

“Kita sedang menstrukturkan semula UMNO, bukan setakat penjenamaan tetapi kerja-kerja yang kita susun bagi melihat beberapa perkara yang perlu, bukan hanya kepada UMNO tetapi juga Barisan Nasional (BN).

“Kita menghormati pandang­an rakan-rakan, parti-parti komponen dan juga kerajaan BN di Sarawak dan wakil-wakil BN Sabah yang kita tahu mereka kekal dan tetap bersama kita,” ujarnya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.