Panasnya Hari Ini

Jika kalah esok, tiada lagi PRU15: Mahathir

LANGKAWI – Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan) Tun Dr Mahathir Mohamad seolah-olah membayangkan bahawa tiada lagi peluang pada PRU15 sekiranya blok pembangkang itu kalah esok.

Mahathir berkata, PRU14 ialah ibu segala pilihan raya, jika rakyat tidak memihak hingga memberi kemenangan kepada Harapan, bermakna tiada lagi peluang lain untuk mengubah nasib negara kerana BN akan terus kekal berkuasa memerintah.

“Kalau kalah (PRU14) jangan fikir untuk kita berjaya pada PRU15 kerana BN akan terus mengekalkan kuasa.

“Meskipun rakyat Malaysia tidak protes di jalanan, meskipun ‘didera’ kerajaan tapi dok diam saja. Dalam pilihan raya saja mereka boleh suarakan pendapat,” katanya ketika majlis santai bersama warga emas Ayer Hangat, di sini, pagi tadi.

Mahathir yang akan bertanding bagi kerusi Parlimen Langkawi, esok meminta seluruh rakyat di pulau berkenaan keluar mengundi bagi menzahirkan usaha Harapan menumbangkan kerajaan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, beliau akan berada di pulau bebas cukai itu untuk ‘memerhati’ pengundi.

“Esok saya ada di sini, nak tengok ramai dak keluar mengundi, saya pi balik Titi Gajah mengundi kemudian datang Langkawi semula untuk mai tengok berapa ramai keluar bagi sokongan pada Harapan,” katanya.

Mahathir meminta pengundi di Langkawi mengingatkan beliau untuk menyelesaikan semua masalah mereka misalnya isu getah dan pemilikan tanah.

“Di Langkawi ada banyak masalah, getah, tiada tanah, ingatkan saya kalau saya menang untuk memperbaiki masalah-masalah.

“Kita nak jaga Langkawi lebih baik daripada Hawaii, kalau jadi wakil rakyat saya akan kerjasama dengan Johari dan Firdaus untuk majukan Langkawi lebih baik lagi,” ujarnya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");