Panasnya Hari Ini

Jumaeah berbekalkan 23 tahun pengalaman sebagai perancangan bandar

SHAH ALAM: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, Jumaeah Masdi, mahu memanfaatkan pengalaman selama 23 tahun dalam bidang perancangan bandar untuk memperhebatkan kawasan itu dan bandar raya ini.

Jumaeah, 46, berkata beliau yakin pengalamannya sebagai penolong pegawai perancangan bandar (kanan) di Selangor, mampu menjadikan kawasan berkenaan lebih terancang, teratur dan mempunyai pelan bersistematik.

Jika memenangi kerusi DUN itu, katanya, beliau mahu mengembalikan dasar 20 peratus bagi rumah kos rendah dalam projek perumahan seperti yang diperkenalkan BN ketika mentadbir Selangor.

“Selepas Selangor ditadbir pakatan pembangkang, dasar itu tidak wujud lagi sehingga menyebabkan rakyat berpendapatan rendah tidak mampu memiliki rumah.

“Pemaju mengguna pakai garis panduan baharu diperkenalkan kerajaan negeri bawah pakatan pembangkang yang dilihat hanya memberi manfaat kepada mereka. Pemaju lagi suka jual rumah mahal.

“Bagaimana orang berpendapatan rendah mahu membeli rumah berharga RM150,000 dan ke atas? Bayaran bulanan pun sudah RM800. Jadi, dasar diguna pakai sekarang oleh kerajaan negeri tidak membela nasib golongan ini,” katanya yang mempunyai Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah daripada Universiti Teknolgi MARA (UiTM).

Justeru, Jumaeah berkata, beliau mahu mengembalikan dasar 20 peratus itu bagi membela nasib rakyat berpendapatan rendah yang mengimpikan memiliki rumah sendiri.

Selain itu, beliau yang juga ibu kepada tiga anak mahu mengekalkan kawasan lapang di sekitar Kota Anggerik dan Shah Alam bagi membolehkan penduduk beriadah serta melakukan aktiviti sihat, sekali gus meningkatkan produktiviti harian mereka.

“Perkara ini nampak seperti kecil tetapi ia adalah kunci kebahagiaan dan kesejahteraan hidup. Kebahagiaan perlu bermula dari hati, seterusnya mewujudkan kehidupan sihat.

“Pembangunan penting tetapi perlu selaras kehidupan sihat. Justeru, perlu ada sesuatu untuk membentuk personaliti yang baik dan sihat dari segi mental dan fizikal,” katanya.

Katanya, beliau juga akan mencadangkan pembinaan sebuah tempat parkir di Pasar Moden Seksyen 6 di sini.

“Ramai mengeluh sukar mendapatkan tempat meletak kenderaan. Ada yang parkir dekat tepi jalan sehingga menyukarkan pengguna jalan raya. Insya-Allah, saya akan meminta tempat meletak kenderaan dibina bagi memudahkan pengunjung pasar di sini,” katanya.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");