Sukan Hari Ini

Juventus Luar Biasa, Berhak Raih Mahkota Serie A – Allegri

MASSIMILLIANO Allegri menegaskan pasukannya, Juventus, yang “luar biasa” berhak memenangi kejuaraan Serie A ketujuh mereka tetapi mengucapkan tahniah kepada Napoli di atas usaha mereka sepanjang musim ini.

Juve menamatkan kempen mereka dengan kemenangan 2-1 ke atas Verona semalam, ketika skuad Bianconeri mengucapkan selamat tinggal kepada penjaga gol veteran, Gianluigi Buffon.

Napoli, yang dibimbing Maurizio Sarri, mendahului perlumbaan merebut Scudetto untuk musim ini, tetapi akhirnya mereka gagal menandingi Juventus pada hujung saingan.

“Pasukan itu mempunyai musim yang luar biasa dan sentiasa bagus untuk menang,” kata Allegri kepada Mediaset Premium, sebagaimana dilaporkan Stadium Astro.

“Kami bertempur dengan Napoli sepanjang tahun. Kami hormati mereka, tetapi kami adalah pasukan terbaik.

“Tidak baik mengkritik pasukan yang telah memenangi segala-galanya di Itali selama tujuh tahun dan hampir berjaya di Eropah.

“Skuad terbaik selalu menang dalam Serie A dan sejak tujuh tahun lalu, Juventus secara konsisten menjadi pasukan terbaik, dengan namanya ditulis dalam buku sejarah.

“Apabila kamu bermain untuk Juventus, kamu perlu menjadi pemain berkualiti tinggi. Kami tidak pernah mengambil apa-apa kesempatan.”

Buffon bukanlah satu-satunya pemain paling kuat meninggalkan pasukan musim ini, dengan Stephan Lichtsteiner dan Kwadwo Asamoah juga pergi.

Claudio Marchisio turut dikaitkan dengan perpindahan dari Turin, sementara masa depan Gonzalo Higuain dan Paulo Dybala di sana juga kurang pasti. Malah, Allegri sendiri menjadi sasaran untuk Arsenal yang sedang mencari pengganti kepada Arsene Wenger.

Bagaimanapun, bos Juventus itu tidak akan terperanjat dengan apa sahaja yang berlaku dalam masa depan terdekat, dan dia mengakui kecewa kerana tidak dapat menikmati kejayaan yang lebih besar dalam Liga Juara-Juara Eropah.

“Kami akan bertemu minggu depan untuk merancang masa depan, memahami di mana kami boleh memperbaiki dan saya tidak fikir mempunyai masalah,” katanya.

“Kami terlepas puncak kejayaan, iaitu Liga Juara-Juara, tetapi kami tidak tahu bagaimana ia akan berakhir dalam masa tambahan ketika menentang Real Madrid.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");