Perak Hari Ini

Kerajaan Perak Akan Lancarkan Tabung Khas Untuk Rakyat Menyumbang

TAPAH:Kerajaan Negeri akan melancarkan tabung patriotik berikutan kesedaran rakyat untuk bersama-sama menyalurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan kelak.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata setakat ini walaupun tabung berkenaan belum dilancarkan secara rasmi namun sudah terdapat seorang individu yang tampil memberi sumbangan berjumlah RM100,000.

“Kerajaan negeri akan membuka satu akaun iaitu tabung patriotik yang mana rakyat yang berkemampuan boleh menyalurkan sumbangan kepada tabung ini.

“Kita akan gunakan untuk kepentingan awam seperti keperluan mangsa banjir dan bencana malah ada seorang penderma telah datang ke pejabat saya semalam menyumbang RM100,000.

“Belum kita war-warkan secara meluas sudah ada yang menyumbang kepada tabung patriotik ini,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau terdahulu menghadiri sesi dialog bersama 29 keluarga yang terjejas banjir di Kampung Pahang di sini dan menyampaikan sumbangan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Pahang.

Katanya, setakat ini beliau telah berbincang dengan Pegawai Kewangan Negeri untuk membuka akaun bagi tabung Patriotik tersebut.

Sementara itu, Ahmad Faizal turut berhasrat untuk melakukan tindakan seperti Kerajaan Kedah di bawah Pakatan Harapan (PH) yang memutuskan gaji asas Menteri Besar dan kesemua 10 anggota EXCO akan dipotong 10 peratus, berkuat kuasa bulan ini.

Katanya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah mendahului dirinya untuk tindakan itu.

“Saya akan bangkitkan perkara ini dalam mesyuarat exco minggu hadapan dan semua anggota pastinya akan bersetuju dengan pemotongan tersebut yang mana mengikuti langkah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");