Berita Hari Ini

Kerajaan Pertimbang Bantuan Aidilfitri Untuk Penjawat Awam

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan akan mengusulkan cadangan kepada Perdana Menteri berkenaan bantuan Aidilfitri yang bakal menjelang, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata cadangan itu akan diutarakan bagi membantu penjawat awam yang bergaji rendah untuk menyediakan persiapan menyambut Hari Raya.

“Untuk Hari Raya ini, ada yang bertanya (tentang bantuan), tapi saya harap tuan-tuan dan puan-puan bertimbang rasa kerana keadaan ekonomi (negara) yang kurang baik,” katanya ketika menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian itu, perhimpunan pertamanya selepas memegang jawatan berkenaan.

Guan Eng juga berkata, bantuan itu ditujukan kepada golongan berjawatan rendah, dan jumlah bantuan itu akan diumumkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita cuba menonjolkan imej kepimpinan melalui teladan, kita tidak memotong gaji penjawat awam, sebaliknya gaji menteri Kabinet dipotong sebanyak 10 peratus, …ini dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet pertama Pakatan Harapan.

“Dan mesej yang hendak kita sampaikan ialah ekonomi Malaysia berdepan dengan masalah kerana ketirisan dan penyelewengan wang yang terjadi sebelum ini,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan berdepan isu fiskal dan hutang negara, yang mana kedudukan kewangan negara tidak selari dengan apa yang disebarkan kepada rakyat.

“Bagaimana pun, janji hendaklah dipegang teguh walaupun ia bertembung dengan posisi fiskal negara,” katanya sambil menambah bahawa beliau akan menyatukan sistem dan laporan kewangan negara dalam minggu pertama menjalankan tugas sebagai Menteri Kewangan.

Laporan itu dijangka dapat memberi gambaran jelas mengenai prinsip asas ekonomi, dan tiada maklumat yang akan dirahsiakan.

“Kita juga akan meminta syarikat penarafan terkemuka seperti PricewaterhouseCoopers (PwC) membantu kita dalam melancarkan lagi proses ini,” katanya.

Ini penting dalam mengimbangkan kedudukan fiskal negara dan janji-janji yang dibuat oleh Pakatan Harapan ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Lim juga berharap Malaysia akan menjadi negara yang menerapkan aspek keusahawanan dan pada masa yang sama, menjaga kebajikan rakyatnya.

“Keusahawanan dan kebajikan boleh berjalan selari, dan Pulau Pinang adalah contoh pelaksanaannya yang berjaya,” katanya. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");