KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd menerima pengiktirafan dalam Senarai Pemimpin Bretton Woods II sebagai salah satu daripada 25 Pemegang Aset Paling Bertanggungjawab di peringkat global, sekali gus menjadi testimoni kepada perkembangan ekonomi negara yang kukuh.
Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar, berkata pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha yang dilakukan oleh Khazanah dan institusi negara yang lain untuk memacu Malaysia ke hadapan mencerminkan kemajuan berterusan negara dalam banyak bidang.
“Kami bersyukur kerana sebagai dana pelaburan strategik negara, anugerah dan pengiktirafan antarabangsa ini datang daripada prestasi kewangan rekod kami untuk tahun 2017 dan penyampaian nilai jangka panjang kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Azman berkata prestasi itu dicapai berdasarkan asas dan kestabilan ekonomi negara, serta model pengawasan dan tadbir urus yang dikendalikan Khazanah.
Katanya, faktor itu telah diketengahkan dalam laporan tahunannya dan Yayasan Hasanah iaitu Laporan Khazanah 2017 dan Laporan Hasanah 2017 yang dikeluarkan pada minggu ini.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pemegang saham, kakitangan, pengurusan dan Lembaga Khazanah yang diketuai oleh Pengerusi kami, Datuk Seri Najib Razak, “katanya.
Laporan Khazanah 2017, antara lain melaporkan perincian prestasi kewangan Khazanah untuk tahun ini.
Pada tahun lalu, nilai bersih portfolio (NWA) yang dimiliki sayap pelaburan kerajaan itu meningkat RM13.4 bilion atau 13.2 peratus kepada RM115.6 bilion, berbanding RM102.1 bilion yang diraih pada 2016 manakala Keuntungan Sebelum Cukai naik 84.7 peratus kepada RM2.89 bilion.
Sementara itu, laporan Hasanah 2017 pula menerangkan pelbagai inisiatif Tanggungjawab Korporat (CR) yang diketuai oleh Yayasan Hasanah untuk tahun ini.
Khazanah, bersama-sama dengan Yayasan Hasanah pada tahun lalu membelanjakan RM233.5 juta untuk inisiatif CR.
Inisiatif itu antaranya:
– Program Khazanah-Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) yang melatih 4,220 graduan tahun lalu.
– Program Sekolah Amanah, Perkongsian Awam-Swasta (PPP) antara Yayasan AMIR dan Kementerian Pendidikan Malaysia dengan tambahan 64 sekolah telah dikenalpasti untuk pelanjutan program ini.
– Projek Taman Tugu, yang menyaksikan penubuhan Amanah Warisan Negara serta tambahan 25 ekar yang diperuntukkan oleh kerajaan untuk projek berkenaan.
Anugerah Bretton Woods II telah disampaikan secara rasmi kepada organisasi terpilih pada Khamis minggu lalu di London, United Kingdom.
Senarai Pemimpin Bretton Woods II adalah kedudukan untuk dana pencen kerajaan dan dana pelaburan negara yang paling bertanggungjawab di seluruh dunia, berdasarkan analisis komprehensif terhadap lebih 120 dana yang secara keseluruhan memiliki aset bernilai AS $20 trilion.
Ia memberikan pandangan mengenai bagaimana pelabur jangka panjang di seluruh dunia membangunkan strategi baharu untuk mengurus risiko sosial, tadbir urus dan alam sekitar.
Bretton Woods II adalah satu inisiatif daripada beberapa institusi pembangunan terkemuka di dunia untuk mempromosi tumpuan yang lebih kuat terhadap kesan sosial, kemampanan dan tadbir urus yang baik dalam pelaburan.
Pengiktirafan diterima Khazanah daripada Bretton Woods II sebagai peneraju pemegang aset bertanggungjawab menggariskan usaha dibuat oleh institusi Malaysia dalam menyumbang ke arah kemajuan ekonomi dan pembangunan makro ekonomi negara yang berterusan, yang mana ia sedang bergerak ke hadapan untuk menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi yang mapan dan inklusif yang bersaing di peringkat global.
-Sinar Harian