Sukan Hari Ini

‘Klopp Inspirasi The Reds’

UCAPAN penuh inspirasi Juergen Klopp sejurus kekalahan Liverpool pada final Liga Europa kepada Sevilla dua tahun lalu, menjadi pemangkin terhadap kemaraan ke final Liga Juara-Juara kali ini, kata kapten Jordan Henderson.

Liverpool kini hanya selangkah untuk menjulang gelaran keenam Eropah tetapi batu penghalang mereka adalah penyandang juara, Real Madrid di Stadium Olimpik, Kiev, awal pagi Ahad ini.

“Beliau melihat kepada gambaran lebih besar serta masa depan dan beliau berasakan ia masa terbaik dalam karier kami untuk belajar daripada pengalaman,” kata Henderson kepada media Britain, sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

“Beliau mempunyai visi yang membuatkan saya berfikir mengenai masa depan dan anda mahukan satu lagi final.

“Beliau mahu menggunakan pengalaman di final untuk menyatukan kami dan menggunakannya sebagai unsur positif. Jika anda memperoleh satu lagi final, anda sudah bersedia.

“Ketika ini, saya dapat rasakan beliau yakin kami akan melangkah ke satu lagi aksi final. Saya tidak dapat mengingati satu demi satu ucapannya tapi beliau mempunyai sesuatu dalam dirinya yang mengatakan ia adalah permulaan kepada sesuatu.”

Liverpool melupakan kekalahan 1-3 kepada Sevilla pada 2016 di Basel, Switzerland dan memberikan segala-galanya dalam memburu kejuaraan lebih elit Eropah pada kempen musim ini.

Kelab Merseyside itu meledak 40 gol dalam laluan ke final dan pemain kebangsaan England, Henderson menghamburkan pujian terhadap Klopp yang membantu meningkatkan semula semangat pasukan.

“Saya fikir anda dapat melihat bagaimana beliau mengemudi pasukan… saya dapat melihat betapa laparnya pasukan untuk meraih kejayaan,” kata Henderson.

“Saya sudah bercakap dengan pengurus mengenai impak besar yang dibawanya sejak berada di sini. Beliau adalah pemimpin kami dan semua orang memandang kepadanya.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");