Berita Hari Ini

Larangan Hanya Sementara: Nik Abduh

KOTA BHARU – Nik Abduh Nik Abdul Aziz menjelaskan larangan terhadap abangnya, Nik Omar sebagai imam dan penceramah di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka hanya bersifat sementara sehinggalah beliau mendapat restu bonda mereka.

Nik Abduh berkata, tindakan berkenaan dibuat berdasarkan keputusan semua ahli keluarga besar mereka setelah mengambil kira kejadian yang berlaku sedikit sebanyak telah menggores hati seorang ibu.

“Ini sekatan bersifat sementara, iaitu sehinggalah al fadhil ustaz Nik Omar mendapat restu bondanya. Saya juga mengesahkan tular berkaitan pengakuan kakanda saya bahawa beliau disekat daripada menjadi imam solat lima waktu dan sebagai tenaga kuliah di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka,” katanya dalam satu kenyataan lapor Sinar Harian.

Semalam Nik Omar ketika menyampaikan Ceramah Pagi di Salor, dalam keadaan sedih memaklumkan beliau tidak lagi dibenarkan meneruskan rutinnya, menjadi imam, memberi kuliah dan mentahnik di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka itu.

Ketegangan antara Nik Omar dan keluarga mula tercetus apabila beliau membuat keputusan bertanding di Dun Chempaka pada PRU14 lalu biarpun dikatakan tidak mendapat restu bondanya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bachok itu berkata, isu restu ibu sepatutnya bersifat dalaman tetapi umum sedia maklum bahawa Nik Omar sendiri yang memaklumkan menerusi media beliau tidak mendapat keizinan bonda untuk bertanding pada PRU14 lalu.

Nik Abduh berkata, selang beberapa minggu kemudian, beliau (Nik Omar) sendiri bertindak sebaliknya yang membawa maksud secara nyata telah melanggar restu bondanya secara terbuka.

“Ini memberi kesan yang amat besar kepada seorang ibu yang terpaksa menanggung rasa malu teramat apabila bersua dengan masyarakat.

“Ia membawa kepada tindak balas keras daripada bonda yang tidak pernah kami lihat dalam hidup kami selama ini. Ia terus memanjang sehingga ke hari ini yang tidak perlu saya perinci,” katanya.

Bagaimanapun Nik Abduh berkata, setakat hari ini hubungan kekeluargaan masih terjalin dan berjalan seperti biasa yang mana setiap hujung minggu semua ahli keluarga akan berkumpul untuk makan malam di rumah bersama bonda.

“Kami adik-beradik sentiasa mendoakan ‘al rusyd’ untuk beliau. Kami kenal beliau sebagaimana beliau kenal kami berbanding orang lain. Apatah lagi bonda kami sendiri. Dalam sebuah masyarakat yang bebas isu ini mungkin kecil.

“Tetapi dalam keluarga kami yang telah diasuh dengan didikan agama oleh datuk dan ayahanda kami, mentaati bonda adalah lebih besar daripada restu lima atau 10 juta rakyat Malaysia. Ibu takkan tewas di sisi ALLAH SWT. Ibu adalah hujah ALLAH SWT di muka bumi ke atas anak-anak,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");