Berita Hari Ini

Mampukah Shafie gegar Sabah?

KOTA KINABALU – Di sebuah kedai kopi, dua lelaki dalam lingkungan usia 50-an dilihat rancak berbual tentang Parti Warisan Sabah, yang sedang giat berkempen untuk PRU14.

“Kamu lihat saja perang bendera, boleh menang tu,” kata seorang lelaki kepada rakannya, sambil menghirup kopi.

Biarpun kali pertama bertanding dalam pilihan raya sebagai sebuah parti baharu, namun pemimpinnya seorang individu yang tidak asing lagi dalam dunia politik tanahair.

Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kini sedang mengetuai ceramah kempen perdananya di seluruh negeri, dalam berbaki beberapa hari lagi sehingga garis penamat pada hari pengundian 9 Mei.

Dari pantai barat di Kota Kinabalu, penulis menjelajah ke pantai timur, dari Sandakan, Lahad Datu, Semporna hinggalah ke Tawau, ada saja mendengar nama susuk politik bernama Shafie Apdal ini.

Adakah beliau masih begitu berpengaruh biarpun setelah meninggalkan Umno dan BN?

Hasil perbualan penulis Astro Awani dengan Pensyarah Sains Politik dan Dasar Awam UiTM Sabah, Mohd Rahezzal Shah Abdul Karim menemui satu corak pemilihan pengundi yang memberikan perspektif berbeza.

Kami melihat kepada undi popular Shafie pada PRU13, beliau ketika itu menang di bawah tiket BN dengan majoriti lebih 20,000.

Undi popularnya cukup tinggi, 83 peratus.

Berdasarkan statistik itu, adakah mungkin Shafie dapat dikalahkan?

Mengambil senario yang berbeza pula pada PRU 2008, seorang pemimpin BN yang juga cukup popular ketika itu, Datuk Seri Lajim Ukin memenangi kerusi Parlimen Beaufort.

Beliau menang dengan undi popular sebanyak 79.3 peratus dalam pertandingan satu-lawan-satu, hampir sama dengan peratusan undi popular Shafie pada 2013.

Lajim yang berketurunan Bisaya juga merupakan Janang Gayuh, iaitu gelaran tokoh pemimpin tertinggi orang Bisaya.

Ia setaraf dengan gelaran Huguan Siou yang diberikan kepada Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, sebagai pemimpin masyarakat Kadazandusun Murut (KDM).

Shafie pula merupakan seorang pemimpin yang dihormati dalam kalangan Bajau Suluk.

Namun pada PRU13, setelah Lajim keluar parti dan bertanding di bawah tiket PKR di kerusi itu, undi popularnya jatuh kepada 45.5 peratus.

Calon BN, Azizah Mohd Dun menang kerusi Parlimen Beaufort dengan 50.5 peratus undi popular.

Biarpun kalah dengan majoriti tipis, hakikatnya, undi popular Lajim jatuh sebanyak 34.5 peratus selepas beliau keluar BN dan menyertai PKR.

Pada PRU14 kali ini, Lajim bakal bertanding di kerusi sama sebagai Presiden Harapan Rakyat, sebuah parti pembangkang tempatan.

Jika dibandingkan dua sosok politik bernama Lajim dan Shafie ini, kedua-duanya merupakan pemimpin yang amat disenangi komuniti masing-masing dan pernah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan persekutuan.

Kesimpulannya, ia pernah berlaku dan tidak mustahil sejarah bakal berulang.

Namun siapakah yang menggalas peranan sebagai ‘game changer’ dalam mencorak dan mengolah naratif ini? Pada waktu ini, ada yang berpendapat, batang tubuh Lajimlah orangnya, dan bukannya Shafie.

Berbanding Shafie, Lajim yang mewakili PKR ketika itu memperjuangkan isu-isu nasional dan dilihat lebih cenderung kepada sentimen Semenanjung.

Manakala Shafie pada setiap ceramahnya pula menjual ideologi ‘Sabah Ubah’ sambil meyakinkan pengundi bahawa partinya boleh membentuk kerajaan negeri.

Kerusi Parlimen Semporna menyaksikan BN mempertaruhkan dua orang anak pemimpin tersohor, Tun Sakaran Dandai, yang juga merupakan bekas ketua menteri Sabah.

Datuk Nasir Sakaran bakal bertanding di kerusi Dun Senallang menentang Shafie yang juga sepupunya, manakala Datuk Razak Sakaran di Dun Bugaya.

Pengaruh keluarga Sakaran ini cukup kuat di Semporna, secocok dengan gelaran “The Kennedy’s of Semporna”.

Cubaan Shafie untuk mengekalkan kerusinya di Semporna juga mungkin tidak semudah yang disangka.

Selepas Shafie meninggalkan Umno, Ketua Penerangan Umno Semporna, Datuk Ramlee Marahaban banyak mengambil alih tugas Shafie dan berkhidmat di kawasan parlimen itu.

PRU kali ini bakal menyaksikan Ramlee bertembung bekas “taukeh” di kerusi Semporna.

Tinggal lagi, cabaran kini terletak pada Ramlee untuk meyakinkan pengundi bahawa beliau masih relevan di Semporna dan perlu mewakili suara pengundi di kawasan Parlimen itu.

Berbaki beberapa hari sebelum hari pengundian, masih terlalu awal untuk menentukan parti mana yang sedang mendahului perebutan 25 kerusi Parlimen dan 60 kerusi Dun Sabah.

Daripada pemerhatian luaran, penerimaan Parti Warisan Sabah adalah baik dalam kalangan pengundi, khususnya golongan muda.

Namun sejauh mana ia diterjemahkan dalam jumlah undi, semuanya bakal terjawab pada 9 Mei nanti.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");