Berita Hari Ini

Mangsa Banjir Di Bagan Serai Meningkat

BAGAN SERAI – Jumlah mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan Dun Alor Pongsu, meningkat kepada 133 mangsa melibatkan 34 keluarga.

Keadaan itu memaksa sebuah lagi pusat pemindahan dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu, jam 3 petang susulan tambahan rumah 60 mangsa melibatkan 18 keluarga dari Kampung Parit Simpang Empat dan Kampung Parit Simpang Lima ditenggelami banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Daerah (JPBBD) Kerian, Mohd Sabli Bakri berkata, berbanding Selasa, sembilan keluarga dipindahkan disebabkan keadaan banjir semakin buruk di enam kampung memetik sumber Sinar Harian.

Menurutnya, setakat ini, keadaan cuaca agak baik, namun situasi hujan berterusan di kawasan hulu sungai di Ijok menyebabkan paras banjir masih tidak menurun.

“Sebuah lagi pusat pemindahan mangsa banjir dibuka di lokasi diwartakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di SK Alor Pongsu bagi menempatkan tambahan keluarga mangsa banjir.

“Kesemua mangsa banjir dipindahkan dengan menggunakan aset Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan agensi kerajaan lain terlibat,” katanya.

Banjir mula melanda daerah ini sejak Sabtu lalu dan pusat pemindahan pertama di SK Changkat Lobak dibuka pada Isnin.

Hingga kini, bilangan mangsa banjir yang ditempatkan di situ turut bertambah kepada 73 orang daripada 16 keluarga berbanding 38 orang daripada sembilan keluarga.

Mohon tambah peruntukan

Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali meminta kerajaan negeri menambah jumlah penyediaan khemah-khemah khas yang digunakan keluarga mangsa banjir di dua pusat pemindahan mangsa banjir terbabit.

Menurutnya, inisiatif itu penting bagi meningkatkan keselesaan setiap keluarga mangsa banjir di samping memastikan privasi ahli keluarga terlibat terjamin.

Keadaan rumah di Kampung Parit Simpang Lima, Alor Pongsu yang mula ditenggelami banjir sejak kelmarin.
“Penyediaan khemah-khemah khas di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dibekalkan oleh kerajaan terdahulu dan saya harap bilangan item itu dipertingkatkan.

“Selain itu, saya juga berharap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kerian dapat memastikan keadaan kesihatan setiap mangsa banjir terjamin dengan penyediaan bekalan ubat-ubatan dan makanan mencukupi di setiap pusat pemindahan,” katanya

Jeti pun tenggelam

Sebanyak 18 rumah termasuk sebuah jeti kelip-kelip di Kampung Dew, Selinsing turut ditenggelami banjir kilat dalam kejadian lewat malam semalam.

Wakil penduduk, Shukor Ishak memaklumkan hujan lebat sejak lewat petang menyebabkan sebahagian rumah penduduk dinaiki air setinggi dua kaki.

“Keadaan di jeti juga hampir ditenggelami banjir dan situasi itu menyulitkan kami, lebih-lebih lagi bumbung jeti terjejas teruk dihempap pokok kelmarin.

“Punca banjir kilat dipercayai berpunca air Sungai Sepetang melimpahi rumah penduduk setelah paras air sungai meningkat mendadak disebabkan fenomena air laut pasang.

“Penduduk berharap pihak berwajib dapat mencari mekanisme penyelesaian dalam menangani masalah banjir kilat yang semakin kerap berlaku setiap kali berlaku hujan lebat,” katanya.

Lubuk ikan

Dalam perkembangan lain, musim banjir memberi kesempatan kepada beberapa penduduk Kampung Changkat Lobak, di sini untuk mencari rezeki tambahan.

Anggota APM Kerian membantu memindahkan mangsa banjir untuk ditempatkan ke pusat pemindahan mangsa banjir baharu di SK Alor Pongsu, semalam.
Seorang penduduk, Muhamad Amal Mohd Hashim,21, berkata, situasi kebanyakan ladang kelapa sawit ditenggelami air menjadi lubuk ikan kepada penduduk kampung untuk memberi pendapatan tambahan dengan menjaring ikan.

Menurutnya, dia bersama seorang lagi rakan, Sulaiman Jamaludin, 22, mula memasang jaring bagi mencari ikan sejak empat hari lalu.

“Pada musim banjir sebegini, ikan yang kebiasaannya berada di dalam tali air dan parit kebun akan terlepas dan bergerak bebas dalam kawasan ladang kelapa sawit berhampiran kampung saya.

“ Pelbagai jenis ikan seperti sepat, haruan dan puyu diperolehi dan hasil tangkapan itu kami jual sepenuhnya kepada penduduk,” katanya.

Muhamad Amal berkata, dalam tempoh empat hari banjir, dia dan rakan memperoleh hampir 10 kilogram ikan yang kebanyakannya dijual kepada penduduk dengan harga antara RM 15 ke RM 25 sekilogram.

“Kejadian banjir ini adalah biasa bagi penduduk namun kami memanfaatkan kejadian banjir ini untuk mencari wang tambahan sebagai persiapan menyambut perayaan Aidilfitri,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");