Berita Hari Ini

Mental kena kuat hadapi PRU14

SEGAMAT – Tugas wakil rakyat dalam tempoh berkempen ketika PRU14 bukanlah satu tugas yang mudah sebaliknya ia memerlukan pengorbanan yang tinggi dalam menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.

Seperti yang digambarkan dalam lagu artis era tahun 1980-an dan 1990-an, Amir Amzah Salleh atau lebih dikenali sebagai ND Lala dalam lagunya berjudul ‘Diari YB’, itu adalah merupakan gambaran tugas sebenar yang terpaksa dilalui oleh seorang wakil rakyat dalam menjalankan tugas harian mereka.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata seorang wakil rakyat perlu mempunyai kekuatan mental bagi memastikan mereka mempunyai tenaga yang cukup dalam menghadapi tempoh berkempen sebelum hari pengundian pada 9 Mei nanti.

“Saya boleh bekerja kuat sepanjang hari namum saya perlu mengambil sedikit masa di celah-celah kesibukan bagi mendapat ketenangan minda agar sentiasa bersedia untuk menghadapi jadual kerja harian yang panjang. Namun, saya sanggup melakukannya demi berkhidmat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra menemui peniaga sekitar Jalan Genuang.

Turut sama menemani penyandang kerusi Parlimen Segamat selama tiga penggal itu ialah isterinya, Datin Seri Dr S. Umarani serta calon baharu BN di Dun Jementah, Chiam Yok Meng.

Dr Subramaniam berkata seorang wakil rakyat bukan hanya perlu bekerja kuat sebaliknya juga perlu mengorbankan masa rehat dan bersama keluarga bagi menunaikan khidmat mereka setelah diberi kepercayaan oleh pengundi dan pucuk pimpinan parti.

Ditanya pemberita mengenai jadual harian beliau sepanjang kempen PRU14, katanya setiap hari programnya bermula seawal jaml 6.30 pagi dengan bersenam bersama Kumpulan Tai Chi di Parlimen Segamat, diikuti dengan makan tengah hari bersama golongan muda atau persatuan masyarakat dan seterusnya ceramah di peringkat cawangan-cawangan UMNO pada sebelah petangnya.

Pada sebelah malamnya pula, Dr Subramaniam akan mengikuti majlis ceramah bersama masyarakat Melayu, Cina dan India.

Beliau berkata jadual wakil rakyat tidak selesai sehingga jam 12 tengah malam, sebaliknya ia diteruskan dengan perbincangan dan mesyuarat sehingga awal pagi.

“Kadang-kadang saya hanya dapat rehat tiga atau empat jam sehari namun apa yang lebih penting bagi semua wakil rakyat BN adalah berkhidmat untuk rakyat tidak kira pada musim pilihan raya atau hari biasa,” katanya.

Dr Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, berkata beliau mengucapkan terima kasih kepada isteri dan keluarganya kerana faham tanggung jawab yang perlu dilakukan olehnya kepada rakyat.

“Isteri dan keluarga wakil rakyat akan faham tugas seorang wakil rakyat dan dapat menerima pengorbanan yang perlu dilakukan oleh mereka,” katanya.

Beliau dilihat antara wakil rakyat BN yang mudah didekati oleh rakyat, walaupun sibuk dengan tugasnya sebagai menteri, beliau sering turun padang bagi mendekati penduduk Segamat setiap hujung minggu.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");