KUALA LUMPUR: Akar umbi UMNO diingatkan untuk tidak menggunakan mesyuarat cawangan parti sebagai medan bergaduh dan menuding jari mencari kesalahan pihak lain.
Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata mesyuarat cawangan yang akan bermula esok, sebaliknya perlu digunakan untuk bersama-sama memperbetulkan tekad serta perjuangan parti Melayu itu.
Katanya, penyusunan semula pergerakan akar umbi menerusi mesyuarat cawangan perlu menjadi titik mula bagi usaha pemulihan UMNO untuk kembali menunjangi arus politik negara.
“Ia (mesyuarat) adalah ruang untuk kita muhasabah dan perbaiki setiap kekurangan serta kelemahan yang ada pada diri masing-masing.
“Rapatkan barisan dan binalah kembali kepercayaan antara satu sama lain. Bersama-sama kita kembali menguatkan parti kita, perubahan harus berlaku dan ia mesti bermula sekarang.
“Selagi saya masih bernafas dan waras, saya akan mengerah seluruh kudrat dan kemampuan yang saya ada untuk membantu parti kita ini kembali ke landasan perjuangannya yang sebenar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Majlis Tertinggi UMNO menetapkan tarikh persidangan tahunan cawangan dan sayap Wanita, Pemuda serta Puteri bermula esok hingga 10 Jun, manakala peringkat bahagian pada 30 Jun depan.
Hishammuddin berkata, dugaan menimpa UMNO ketika ini memberi peluang untuk membersihkan parti serta mengenali kawan dan lawan sebenar.
“Di sebalik dugaan ini, ia juga memberikan kita peluang untuk melihat sendiri wajah sebenar siapa kawan, siapa lawan, siapa musang berbulu ayam.
“Yang kekal bersama, itulah pejuang sebenar yang sudi mengangkat perjuangan ini kembali ke tempat asalnya.
“Tewas bukan bermaksud pengakhiran kepada segalanya. Ketewasan ini menuntut kita untuk bangkit, melangkah ke hadapan dengan lebih bermaruah supaya kita dapat menebus dan menginsafi kesilapan lalu,” katanya.
UMNO ketika ini dilanda krisis kepemimpinan dan masa depan susulan Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sekali gus gagal menerajui kerajaan buat pertama kali dalam tempoh lebih 60 tahun.
Tiga hari selepas kekalahan itu, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO.
Beberapa ahli serta pemimpin UMNO pula mula menukar haluan dengan meninggalkan parti itu untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).-BH