Sukan Hari Ini

Mourinho, Conte ‘Berperang’ Lagi

LONDON: Jose Mourinho dan Antonio Conte meneruskan permusuhan mereka apabila Manchester United dan Chelsea bertemu pada final Piala FA Sabtu ini, kedua-duanya mahukan trofi untuk menebus kesilapan musim ini.

Keinginan Conte jauh lebih tinggi kali ini. Selepas gagal menempah tiket ke Liga Juara-Juara musim depan, ramai menganggap aksi di Wembley bakal menjadi yang terakhir buat jurulatih Itali di Stamford Bridge, tidak kira apa pun keputusannya.

Jika benar, tiada apa yang akan menggembirakan Conte selain mengundur diri dengan satu kejuaraan buat kali pertama sebagai jurulatih dengan menewaskan lelaki yang paling dimusuhinya sejak menjejakkan kakinya ke England.

Conte menyifatkan Mourinho sebarang ‘orang kecil’ dan ‘penipu’ pada kemuncak permusuhan mereka Disember lalu.

Beberapa hari sebelum itu Mourinho secara tidak langsung menyebut mengenai penggantungan yang diberikan kepada Conte kerana dakwaan gagal melaporkan mengenai insiden mengatur perlawanan ketika mengendalikan Siena.

Conte kemudiannya menang rayuan berkenan, sekali gus membersihkan namanya daripada kes itu.

Punca permusuhan itu dikatakan berpunca daripada kejayaan Conte pada kempen pertamanya di Chelsea, semusim selepas penggal kedua Mourinho di Stamford Bridge berakhir dengan jurulatih Portugal itu dipecat apabila hanya memenangi empat daripada 16 perlawanan pertama Chlsea pada Disember 2015.

Penamat tangga kelima Chelsea di Liga Perdana Inggeris musim ini disahkan apabila mereka tewas 0-3 kepada Newcastle Ahad lalu.

“Pengakhiran di tangga kelima amat mengecewakan. Bagaimanakah kesannya tidak berada di Liga Juara-Juara? Anda perlu bertanya kepada kelab mengenai perkara itu,” kata Conte, sekali gus menghangatkan spekulasi mengenai masa depannya, lapor BH Online.

“Jika kami bermain seperti ini pada final Piala FA, kami tiada peluang. Kami mempunyai enam hari untuk mengubah pendekatan, keinginan, kemahuan untuk berjuang kerana kami boleh lakukan lebih baik.”

Setidak-tidaknya Mourinho sudah mengesahkan tiket ke Liga Juara-Juara musim depan dengan menduduki tangga kedua Liga Perdana Inggeris.

Bagaimanapun jurang 19 mata dengan juara Manchester City dan kekecewaan tersingkir di tangan Sevilla pada peringkat 16 terakhir, bermakna beliau juga perlu menanti saat akhir untuk menghadiah trofi untuk menutup mulut pengkritik.

“Memandangkan saya selalu melakukannya (menang trofi), jika tidak, anda (media) akan membunuh saya,” kata Mourinho mengenai prospek menamatkan musim keduanya di Old Trafford tanpa sebarang trofi. “Itu yang bakal anda lakukan.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");