Isu Panas

Pas Alu-Alukan Anwar Bebas, Cadang Siasat Semua Kes

SHAH ALAM – Pas mengalu-alukan pembebasan Ketua Umum Pakatan Harapan (Harapan) Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam di saat berubahnya keadaan politik Malaysia sambil menggesa supaya beberapa kes berkait politik selama ini dijalankan siasatan diraja.

Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pembebasan Anwar itu sudah tentu memberi ruang luas untuk turut terlibat di dalam politik tanah air, di saat berlakunya perubahan parti yang menerajui negara.

” Pas menentang tindakan dan pertuduhan ke atas beliau tanpa melalui perbicaraan yang adil di Mahkamah Syariah,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan menerusi Facebook rasmi miliknya, hari ini lapor Sinar Harian.

Kenyataan Tuan Ibrahim itu sebagai maklum balas terhadap pembebasan Anwar berikutan pengampunan penuh diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, semalam.

Pembebasan bekas timbalan perdana menteri itu menandakan berakhirnya episod 20 tahun beliau keluar-masuk penjara dan bermulanya penyambungan kerjaya politik pemimpin yang disebut-sebut bakal menjadi perdana menteri.

Sementara itu Tuan Ibrahim juga menyatakan pendirian Pas bahawa sejajar dengan prinsip kedaulatan undang-undang di negara ini, parti berkenaan memohon Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi skandal 1MDB meskipun dikatakan ada pendakwaan pada waktu-waktu terdekat terhadap mereka yang terlibat.

“Pas juga mencadangkan agar kerajaan membuka semula siasatan terhadap kematian Teoh Beng Hock dan Paderi Pastor Koh yang hilang hingga kini agar kebenaran dapat diketahui.

“Bagi kes Memali, Pas menggesa RCI juga ditubuhkan agar kebenaran dapat ditentukan tanpa sebarang prejudis sementara siasatan telus perlu diberikan kepada isu pembelian kapal selam Scorpene dan penjualan ibu pejabat Felda.

“Kerajaan juga harus bertindak mengikut cadangan RCI skandal forex atau membicarakan skandal itu semula agar diketahui segala hujung pangkalnya,” kata Tuan Ibrahim dipetik dari kenyataan itu lagi.

Menurutnya, penilaian secara adil perlu dilakukan untuk setiap kes tanpa mengira siapa terlibat yang mana pendakwaan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya, dan pengguguran satu-satu dakwaan terhadap mana-mana individu tidak boleh dilakukan mengikut pangkat dan kuasa seseorang.

“Jika tidak, ia tidak membawa perbezaan daripada sistem kerajaan BN dahulu. Semua ini perlu dilakukan agar semua kes lama dapat ditutup rapi dan tidak lagi mengganggu perjalanan negara ke masa depan yang lebih mencabar demi Malaysia yang lebih sejahtera,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");