Isu Panas

Pas ‘King Maker’: Harapan Perak Akan Menghadap Sultan Nazrin

IPOH: Pimpinan Pakatan Harapan (Harapan) Perak akan memohon perkenan menghadap dan menyembah nasihat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam masa terdekat.

Pengerusinya, Ahmad Faizal Azumu berharap supaya akan berlaku transisi pentadbiran yang baik antara Barisan Nasional (BN) dan Harapan.

Beliau pada masa sama enggan mengulas lanjut kedudukan Pas yang dilihat mungkin menjadi penentu kepada kerajaan negeri Perak, atau sebagai ‘king maker’.

“Buat masa ini, pihak kami hanya akan membincangkan perkara yang saya sebutkan tadi (menghadap Sultan Nazrin). Perkara-perkara yang akan jadi esok atau lusa tak dapat kami sebut pada ketika ini.

“InsyaAllah apabila kami telah diterima menghadap Sultan Nazrin, dan sebagainya, akan kami maklumkan kepada rakan media,” katanya enggan mengulas lanjut lapor Astro Awani.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Aziz Khalidin mengumumkan secara rasmi kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Putrajaya hari ini.

Ahmad Faizal pada masa sama berterima kasih kepada rakyat negeri Perak yang bukan sahaja memberi mandat kepada Harapan di Perak, malah di peringkat Persekutuan.

Beliau bertekad, Harapan Perak akan memikul mandat yang diberi sebaik mungkin demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

BN Perak memperoleh 27 kerusi DUN yang masih memungkinkannya menubuhkan kerajaan di negeri berkenaan sekiranya wujud kerjasama antara parti itu dan Pas yang dilihat sebagai ‘king maker’ atau penentu parti mana yang memerintah.

Harapan mendahului kiraan kerusi di Perak dengan 29 kerusi DUN, kurang satu kerusi untuk menubuhkan kerajaan negeri dengan majoriti mudah, sementara Pas memenangi tiga kerusi.

30 kerusi diperlukan untuk menubuhkan kerajaan dengan majoriti mudah di Perak.

Kebiasaan yang dilakukan oleh demokrasi berparlimen sebelum ini memerlukan parti-parti politik bergabung untuk mendapatkan kerusi yang mencukupi bagi membentuk kerajaan campuran.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");