JOHOR BAHRU – Pemilihan 24 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai calon Parlimen dan Dun untuk Pas pada PRU14 jelas menunjukkan kesungguhan parti berkenaan dalam membela nasib rakyat khususnya dari kelompok itu.
Senarai calon yang dipilih itu akan mewakili 25 kawasan Parlimen dan Dun yang mana seorang daripada mereka diangkat untuk bertanding dua kerusi.
Calon Pas kerusi Dun Panti, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar berkata, veteran yang dipilih itu juga sentiasa komited serta mampu memberikan seluruh keringatnya dalam membantu rakyat sepertimana yang dilatih ketika mereka masih berkhidmat.
Menurutnya, tiada mana-mana parti yang lain sanggup mempertaruhkan jumlah yang ramai untuk calon dalam kalangan tentera selain Pas dan perkara itu menunjukkan seriusnya janji yang mahu diberikan khusus kepada anggota keselamatan di negara.
“Veteran bertanding semestinya berjuang mewakili Pas dan berkhidmat untuk bela ATM, polis dan agensi keselamatan di Parlimen dan Dun sebagai pembuat atau penggubal dasar.
“Pas adalah pilihan terbaik yang sentiasa berusaha gigih serta komited membela, memperkasakan ATM selain merungkai kemelut kebajikan semua veteran dari sudut penyelarasan gaji, pencen dan elaun perkhidmatan.
“Malah kita juga sudah menyediakan kerangka dasar yang kita perjuangkan sejak PRU13 lalu untuk kes pemerolehan tanah selaras dengan peruntukan Perintah Majlis Angkatan Malaysia, Bilangan 7 Tahun 1973 (Perenggan II) (PMAT) PMAT 1973,” katanya pada sidang media.
Hadir sama, Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin.
Mohd Nazari yang juga Presiden Kebajikan Rangkaian Bebas ATM (Kerabat) berkata, di peringkat Pas Pusat juga kerangka membina sebuah Bandar Baru Veteran juga sedang diperincikan yang mana akan dibuat khusus untuk membela nasib veteran dan balu tentera yang tercicir daripada menerima bantuan.
“Kita juga mempunyai cadangan untuk membina Bandar Baru Veteran di setiap negeri yang kita perintah di mana ia akan menempatkan 5,000 ke 10,000 golongan tercicir terdiri daripada keluarga veteran dan balu tentera.
“Jika menguasai kerajaan pusat, kita akan cuba cari inisiatif melalui dana Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk memberikan sebuah rumah kepada veteran yang tidak memiliki rumah,” katanya.
-Sinar Harian