Isu Panas

PBRS Umum Keluar BN

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) hari ini mengikut jejak Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan seterusnya memohon untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).

Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup, ketika mengesahkan perkara itu berkata, keputusan berkenaan dibuat kelmarin tetapi hanya dapat diumumkan hari ini selepas mendapat persetujuan Majlis Tertinggi parti itu malam tadi.

“Keputusan keluar BN dibuat kelmarin iaitu pada masa yang hampir sama ketika UPKO mengumumkan pendirian mereka, namun saya perlu berbincang terlebih dahulu dengan ahli Majlis Tertinggi.

“Kita akan buat permohonan rasmi kepada PH. Kita sudah mengemukakan hasrat kita untuk menyertai pakatan itu dan ia mendapat maklum balas yang baik,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online.

Kurup berkata, keputusan itu dibuat selepas menilai semula kedudukan mereka dalam BN.

“Sekarang BN sudah tumbang, jadi kita perlu buat keputusan yang membolehkan kita terus berkhidmat kepada rakyat dengan baik sebagai wakil rakyat,” katanya.

PBRS mempunyai satu kerusi Parlimen iaitu Pensiangan yang dipegang anak Kurup, Arthur dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipegang Datuk Ellron Alfred Angin.

Ketika ditanya sama ada beliau ada bercakap atau berjumpa dengan pemimpin PH negeri atau Parti Warisan Sabah (WARISAN), Kurup enggan mengulas atau menyebut nama, namun menekankan partinya sedia bekerjasama dengan pakatan WARISAN-PH.

UPKO adalah parti komponen BN yang pertama mengumumkan keputusan keluar daripada gabungan itu dan menyertai pakatan WARISAN-PH ketika menemui Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kelmarin.

Ia kemudian disusuli sebuah lagi parti komponen BN Sabah iaitu Parti Liberal Demokratik (LDP), semalam.

Tindakan LDP itu disebabkan kekalahan teruk parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas tewas di semua empat kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");