Berita Hari Ini

PDRM kawal ketat pusat pembuangan undi

KUALA LUMPUR: Selain membuat kawalan ketat di setiap pusat pembuangan undi esok, polis Kuala Lumpur turut menempatkan anggota di lokasi panas yang menjadi tumpuan di sekitar ibu kota.

Seramai 152 anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat kawalan di 22 lokasi panas di ibu kota menerusi Ops Ledak khas sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hingga hari mengundi esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata Ops Ledak dilancarkan bertujuan mengelak kejadian tidak diingini berlaku termasuk serangan pengganas sempena ‘hari besar’ rakyat Malaysia.

“Seramai 152 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada 76 anggota polis dan 76 anggota ATM akan bertugas mengawal keselamatan di 22 lokasi panas yang menjadi tumpuan orang ramai dan pelancong.

“Mereka akan ditugaskan secara konsep ‘buddies’ iaitu dua anggota polis dan dua anggota ATM di setiap kawasan,” katanya.

Beliau berkata, antara lokasi panas di ibu kota adalah di Dataran Merdeka, pusat beli-belah Pavilion, sekitar KLCC, Jalan Tunku Abdul Rahman, pusat beli-belah Mid Valley dan Jalan P Ramlee.

“Kami mahu menjamin keselamatan penduduk dan pelancong di kawasan berkenaan dengan memberi tumpuan terhadap sebarang ancaman pengganas seperti Daish.

“Pada masa sama kami mahu mengelak sebarang kejadian tidak diingini sempena hari mengundi. Kehadiran anggota keselamatan juga dapat mencegah kejadian jenayah jalanan seperti samun dan ragut,” katanya.

Mazlan turut menasihatkan kepada mana-mana parti yang bertanding agar tidak menimbulkan suasana yang boleh menimbulkan kekacauan dan mengganggu keamanan negara.

“Keadaan atau situasi di Kuala Lumpur akan menggambarkan keadaan negara ini secara keseluruhan. Jika di ibu kota tidak aman dan wujud keadaan kucar-kacir, ia akan menjejaskan imej seluruh negara,” katanya.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");