Isu Panas

Pemecatan tokoh Umno tidak jejaskan parti

SEREMBAN – Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata pemecatan dua veteran Umno tidak akan menjejaskan parti itu mahupun momentum Barisan Nasional (BN) menjelang hari pengundian PRU14, Rabu ini.

Pengerusi Pemuda BN itu juga percaya kedua-dua tokoh berkenaan mempunyai sebab tersendiri untuk menyokong pembangkang.

“Mereka bebas untuk buat pilihan mereka atas sebab yang saya pun tidak tahu… mungkin sebab kesetiaan mereka kepada (Pengerusi Pakatan Harapan) Tun Dr Mahathir Mohamad.

“(Ketua Umum PKR Datuk Seri) Anwar Ibrahim sendiri (pernah) sebut bahawa (bekas Menteri Kewangan) Tun Daim (Zainuddin) adalah manusia yang paling ‘corrupt’ di Malaysia, tetapi demi kuasa segala prinsip diketepikan dan mereka (pembangkang) sanggup menerima siapa sahaja,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan media yang menyebut keanggotaan dua veteran Umno yang juga bekas menteri iaitu Daim dan Tan Sri Rafidah Aziz digugurkan berkuat kuasa Jumaat, susulan tindakan mereka menyokong pembangkang dan mengeluarkan kenyataan menghentam parti.

Laporan itu yang memetik Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga berkata seorang lagi bekas menteri Tan Sri Dr Rais Yatim masih disiasat berhubung isu sama sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Sementara itu, Khairy yang mempertahankan kerusi Parlimen Rembau bagi penggal ketiga, meminta rakyat berwaspada dengan ‘drama besar’ yang mungkin akan dimainkan oleh pembangkang pada saat-saat akhir menjelang pengundian 9 Mei ini.

Beliau sebelum itu hadir program Ramah Mesra Pemimpin dan Masyarakat di Taman Rashibah Indah di sini yang turut dihadiri calon BN bagi Parlimen Seremban Datuk Chong Sin Woon dan calon Dewan Undangan Negeri Temiang, Siow Koi Voon.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");