Berita Hari Ini

Pengumuman Tiga Menteri Belum Muktamad – Rafizi

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menyifatkan pengumuman berhubung pelantikan tiga portfolio kanan dalam kerajaan membabitkan jawatan Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan belum dimuktamadkan dan masih dalam perbincangan.

Beliau berkata, sebarang keputusan mengenai pelantikan mestilah dipersetujui secara bersama oleh keempat-empat parti dalam Pakatan Harapan (PH).

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini dalam perjalanan ke Hospital Rehabilitasi Cheras untuk berbincang dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelantikan ini.

“Kita yakin proses rundingan yang mengikuti semangat muafakat akan membantu mengukuhkan kerajaan PH.

“Penjelasan ini dibuat kerana saya ditanya mengenai ketiadaan wakil PKR di dalam mesyuarat dan semasa pengumuman pelantikan sebentar tadi,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik dalam laman rasmi Rafiziramli.com, hari ini lapor Berita Harian.

Terdahulu, Dr Mahathir menamakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selaku Menteri Kewangan; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Dalam Negeri dan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan.

Tujuh lagi kementerian termasuk Pendidikan, Pembangunan Luar Bandar, Ekonomi, Kerja Raya, Pengangkutan, Multimedia Sains dan Teknologi serta Kementerian Luar akan diumumkan selewat-lewatnya minggu depan.

Beliau mengumumkannya pada satu sidang media selepas selesai mengadakan mesyuarat khas berkaitan pembentukan Kabinet, di Wisma Yayasan Selangor.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");