Berita Hari Ini

Pengundi pos jangan rakam gambar kertas undi: SPR

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menasihatkan kepada semua pengundi secara pos memastikan kerahsiaan undi mereka terpelihara.

Pengerusinya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, pengundi pos disarankan tidak merakam gambar mana-mana dokumen seperti kertas undi, borang atau sampul berkaitan PRU14 dan menularkannya melalui media sosial atau apa-apa medium komunikasi.

“Pengundi mengundi pos sama ada di dalam negara mahupun di luar negara untuk tidak merakam foto atau gambar mana-mana dokumen seperti kertas undi, borang atau sampul-sampul berkaitan PRU14 dan menularkannya melalui media sosial atau apa-apa medium komunikasi.

“Larangan ini bertujuan bagi memastikan ketelusan Undi adalah rahsia tetap terpelihara dalam PRU14,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, larangan itu meliputi semua jenis pengundian termasuk undi pos yang menerima dokumen pilihan raya sebelum pengundian awal atau biasa.

“Ia juga bertujuan memelihara keselamatan dan kepentingan awam sepanjang proses pilihan raya berlangsung,” katanya.

Mohd Hashim turut menegaskan bahawa, mana-mana individu atau pihak yang didapati melakukan kesalahan ini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

“Apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya sekali.

“Individu terbabit juga tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai seorang pemilih atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya sehingga tamat tempoh lima (5) tahun dari sabitan itu, dan jika pada tarikh itu dia telahpun dipilih dalam mana-mana pilihan raya, kerusinya hendaklah dikosongkan dari tarikh sabitan itu,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");