Berita Hari Ini

Peringatan SPR Menjelang Hari Pengundian 9 Mei Ini

KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi peringatan kepada semua pengundi agar tidak mudah percaya mesej-mesej palsu yang ditularkan menjelang hari pengundian, Rabu ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dalam satu kenyataan berkata, peringatan itu dikeluarkan berikutan terdapat usaha yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab mengelirukan pengundi dengan penyebaran mesej palsu berbentuk video, teks dan gambar di media sosial.

Beliau berkata,  antara yang ditularkan di media sosial termasuklah berlaku pengiraan terhadap undi awal di beberapa bahagian pilihan raya,  kertas undi pos telah disapu lilin, kaedah penandaan kertas undi, tuntutan perjalanan mengikut jarak perbatuan, dan terdapat titik hitam pada kertas undi.

“SPR menegaskan bahawa ianya tidak pernah berlaku dan semua kertas-kertas undi awal masih disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap-lokap balai polis.

“Kertas-kertas undi awal tersebut hanya akan dikira pada 9 Mei 2018 bermula jam 4 petang.

“Semua proses pengiraan undi yang ditetapkan SPR dan urusan perniagaan undi akan dibuat dengan disaksikan oleh semua pihak berkepentingan dalam kehadiran calon-calon atau ejen-ejen calon, “katanya.

Sementara itu, SPR juga menafikan dakwaan kononnya kertas undi pos telah disapu lilin di petak calon tertentu bagi menyukarkan pengundi menanda pangkah di petak tersebut.

Mohd Hashim berkata, malah sehingga kini  tiada debarang aduan diterima berkaitan dakwaan tersebut.

“SPR juga menjelaskan bahawa setiap kertas undi yang dicetak akan disemak terlebih dahulu dengan teliti pada setiap helaian bagi memastikan tiada sebarang kekotoran seperti tanda titik hitam.

“Selain daripada itu,  mengenai kekeliruan penandaan yang betul atau salah,  SPR menegaskan kaedah penandaan yang betul dan digalakkan adalah dengan cara membuat tanda pangkah di dalam salah satu petak mana-mana calon yang dipilih serta tidak melangkau ke petak calon-calon yang lain,”katanya.

Jelasnya lagi, sekiranya terdapat keraguan,  ia akan diputuskan oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM)  sama ada diterima atau ditolak dalam kehadiran Ejen-Ejen Mengira Undi bagi calon yang bertanding.

Dalam masa sama,  Mohd Hashim menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang makluman tentang pengundi boleh membuat tuntutan perjalanan mengikut jarak lerbatuan bagi mereka yabg balik mengundi.

“Ini berikutan terdapat mesej tular yang kononnya pengundi boleh membuat tuntutan perjalanan di Pejabat Daerah dengan membawa kad pengenalan dan jumlah dibayar akan mengikut jarak perjalanan iaitu antara RM10 hingga RM1,000.

“Sehubungan dengan itu,  orang ramai diminta tidak terpengaruh dan serta turut menyebarkan mesej-mesej palsu tersebut melalui perkongsian di media sosial kerana ianya boleh menimbulkan kegemparan dan kekeliruan dikalangan pengundi menjelang hari mengundi.

“Malahan tindakan menyebarkan maklumat tidak benar merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang dan akta tertentu”, katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");