Jenayah

Permohonan Sofi Jikan Gugur Pertuduhan Ditolak

PETALING JAYA: Pejabat Peguam Negara, menolak representasi dikemukakan oleh pelakon filem KL Gangster, Sofi Jikan, bagi menggugurkan pertuduhan mengambil ganja yang dihadapinya, tiga bulan lalu.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Natasha Chin Le Jy kepada Majistret Nurul Huda Zakariya dalam prosiding di Mahkamah Majistret di sini, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Berikutan keputusan itu, mahkamah menetapkan 6 Jun ini untuk pengurusan kes bagi persediaan perbicaraan.

Dalam prosiding itu, Sofi Jikan atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan, 48, diwakili peguam bela Datuk Haniff Hassan.

Sebelum ini, Sofi Jikan menghantar representasi berkenaan untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya, pada 5 April lalu.

Pada 13 Februari lalu, Sofi didakwa menggunakan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydro cannabinol-9-carboxylic acid atau THC di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada jam 11.15 malam, 6 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, pelakon itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil membuat laporan polis mendakwa tiga rakan artis memasukkan bahan terlarang ke dalam minumannya sehingga mendorong dia bertindak ganas di sebuah balai polis, Januari lalu.

Dia turut mendakwa diberikan rokok yang disapu dengan minyak dipercayai daripada bahan dadah.

Pendedahan itu membawa kepada penahanan Sofi yang didapati positif dadah ketika memberi keterangan berhubung kes itu di Balai Polis Mutiara Damansara, 6 Februari lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");