Berita Hari Ini

Putera Arab Saudi Gagal Bukti Derma: Mohd Shukri

PUTRAJAYA – Putera Arab Saudi, yang dikatakan menderma wang sebanyak RM2.6 bilion kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, gagal mengemukakan dokumen sokongan untuk membuktikan pemberian ‘derma’ berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, terdapat satu surat yang menunjukkan derma berkenaan adalah daripada Putera Arab Saudi dan pertemuan pihaknya dengan putera itu seperti telah diaturkan.

“Sebenarnya, ada sepucuk surat yang menunjukkan sumbangan itu adalah daripada Putera Arab Saudi. Berdasarkan surat itu, pegawai kami pergi ke Arab Saudi dan putera itu ‘diperkenalkan’ kepada kami.

“Biasanya, kami yang akan mencari orang berkenaan untuk mendapatkan kenyataan tetapi kali ini, seseorang telah memperkenalkan kami kepada ‘putera’ itu,” katanya tanpa mendedahkan nama Putera Arab Saudi tersebut pada sidang media khas SPRM di sini, hari ini.

Mohd Shukri berkata pada pertemuan itu, Putera Arab Saudi berkenaan mengaku telah menderma sebanyak RM2.6 bilion kepada Najib namun, beliau gagal mengemukakan sokongan pemberian derma terbabit kepada SPRM.

“Beliau mengakui menyumbangkan RM2.6 bilion tetapi apabila ditanya di mana dokumen sokongannya, beliau tidak dapat mengemukakannya. Operasi standard mestilah disokong dengan dokumen,” katanya.

Mohd Shukri berkata siasatan terhadap dakwaan pemberian derma berkenaan terhenti selepas Peguam Negara menolak permohonan SPRM.

“Apabila kami mengemukakannya kepada bekas Peguam Negara (Tan Sri Mohamed Apandi Ali), kami minta beliau memberi kami dokumen MLA (Bantuan Undang-Undang Bersama) bagi membolehkan kami untuk memperjelaskan sama ada perkara ini benar atau tidak … kami memerlukan sokongan, kami perlukan bukti dan kami memerlukan dokumen tetapi AG menolak untuk membenarkan kami mendapatkan MLA.

“Tiada dalam dunia ini orang yang begitu pemurah beri RM2.6 bilion begitu sahaja dan RM2.6 bilion ini merupakan kes yang benar,” katanya.

Mohd Shukri berkata demikian sebagai menjawab soalan berhubung kenyataan SPRM pada Ogos 2015 yang menyatakan bahawa dana berjumlah RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun milik Najib itu adalah sumbangan penderma dan bukannya daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");