Berita Hari Ini

Ringgit Mengukuh Berbanding Dolar AS Minggu Depan

KUALA LUMPUR – Prestasi ringgit dijangka akan dipengaruhi oleh perkembangan pasca PRU14 dalam cubaannya untuk mengukuh berbanding dolar AS pada minggu depan.

Menurut peniaga, perkembangan yang lebih cenderung ke arah pengukuhan unit tempatan itu, turut disokong oleh pertumbuhan kadar faedah utama yang akan diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) tidak lama lagi.

Ketua Strategi dan Penyelidikan Pasaran FXTM Global, Jameel Ahmad berkata perkembangan mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang dijadualkan pada 17 Mei ini juga dilihat penting bagi kalendar ekonomi.

“Kami menjangkakan arah ringgit pada minggu depan akan dipengaruhi oleh berita tempatan susulan keputusan pilihan raya yang di luar jangkaan,” katanya.

Menurutnya, kebimbangan dan keterujaan terhadap PRU14 itu bagaimanapun akan berkurangan ketika pasaran dibuka semula untuk urus niaga pada minggu depan.

Jameel berkata ini sepatutnya membantu mengelak ringgit daripada terus memaparkan kelemahan di pasaran luar pesisir akibat kejutan pilihan raya tersebut.

Jelasnya, persepsi itu disokong oleh petanda pada awal Jumaat yang menyaksikan kontrak hadapan mendapat dorongan selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada hari sebelumnya.

“Pengumuman mengenai KDNK itu dijangka terus memaparkan keadaan ekonomi Malaysia yang pesat berkembang,” katanya.

Mengulas pertumbuhan kadar faedah utama yang akan diumumkan oleh BNM, Jameel berkata ada kemungkinan ia tidak seiring dengan prestasi luar biasa yang dicatat pada tahun lepas.

Namun, angka pertumbuhannya dalam lingkungan paras 5.0 peratus berkemungkinan menunjukkan jangkaan para pelabur asing bahawa ekonomi domestik mencatat prestasi yang lebih baik berbanding pertumbuhan di negara membangun lain, katanya.

Sementara itu, Ketua Dagangan Asia Pasifik OANDA, Stephen Innes berkata pengukuhan semula dolar US dan peningkatan hasil negara maju itu akan menyaksikan para pelabur lebih bersifat untuk bertahan bagi tempoh terdekat dan pertengahan.

Dalam pada itu, Dr Mahathir pada sidang media Khamis, menegaskan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) akan berusaha untuk menjadikan ringgit terus mengukuh.

Pasaran kewangan Malaysia ditutup pada Rabu bersempena PRU14 dan cuti tambahan pada dua hari berikutnya susulan kemenangan kerajaan PH.

Bagi perbandingan Jumaat ke Selasa, ringgit secara amnya tinggi berbanding kelompok mata wang utama.

Ia susut berbanding dolar AS kepada 3.9480/9530 daripada 3.9390/9420 minggu lepas.

Unit tempatan itu meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9498/9540 daripada 2.9523/9548 dan merosot berbanding yen kepada 3.6250/6299 daripada 3.6095/6132, sebelum ini.

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3353/3437 daripada 5.3389/3446 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6898/6962 berbanding 4.7103/7154 pada Jumaat lepas lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");