Sukan Hari Ini

Salah Ke Sepanyol Untuk Rawat Kecederaan

BINTANG Liverpool dan Mesir Mohamed Salah, akan ke Sepanyol untuk menjalani rawatan kecederaan bahu yang meranapkan perjuangannya di final Liga Juara-Juara dan mengancam peluangnya ke Piala Dunia.

Persekutuan bola sepak Mesir (EFA) berkata Salah memilih Sepanyol untuk program pemulihan yang diharapkan mampu membantu pemain itu kembali tepat pada masanya untuk ke Russia.

Menurut kenyataan EFA, Salah akan diiringi kakitangan perubatan Liverpool sepanjang tempoh rawatan itu yang sudah memulakan program pemulihan sejak Ahad.

Salah yang menyumbang 44 gol buat Liverpool dalam semua kejohanan musim lalu, terpaksa meninggalkan final Liga Juara-Juara dengan linangan air mata sambil memenang bahu kiri selepas ditarik ke tanah oleh kapten Real Madrid Sergio Ramos.

Dikhuatiri kecederaan itu akan menyebabkan Salah tidak dapat beraksi pada Piala Dunia, 14 Jun hingga 15 Julai tetapi semalam, penyerang Reds meluahkan keyakinan akan kembali tepat pada masanya.

“Ia malam yag mencabar tetapi saya seorang pejuang. Di sebalik kesukaran ini, saya yakin akan berada di Russia untuk membuat anda bangga,” kata Salah di laman Twitter semalam, sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

Media Mesir melaporkan Salah tidak akan beraksi selama tiga minggu.

Pegawai persekutuan Mesir sementara itu dijangka melawat Salah yang dianggap EFA sebagai ‘simbol Mesir’ pada Rabu untuk menaikkan semangatnya.

Mesir yang diundi dalam Kumpulan A memulakan kempen Piala Dunia menentang Uruguay pada 15 Jun sebelum berdepan tuan rumah Russia dan Arab Saudi.

Skuad Pharaohs akan menentang Colombia dalam perlawanan pemanas badan pertama di Bergamo, Itali pada 1 Jun.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");