Perak Hari Ini

Saya Masuk PPBM Atas Initiatif Sendiri- Zainol

Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin menerangkan bahawa pengumuman beliau serta 100 lagi ahli UMNO untuk memasuki PPBM dibuat tanpa pengetahuan awal oleh Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.

Jelas beliau, tindakannya itu dilihat telah mengundang ketidakpuasan hati Ahli Parlimen Ipoh Timur, YB Wong Kah Woh.

“Pada hari tersebut, saya telah membuat satu keputusan untuk mengumumkan perletakan jawatan saya dalam UMNO dan memberitahu rakan-rakan seperjuangan yang lain atas tujuan memaklumkan mereka mengenai tindakan saya.

“Tanpa disangka, ramai di antara mereka yang menyertai saya pada hari tersebut untuk mengisytiharkan tindakan kami dan komitmen tidak berbelah bahagi kepada kerajaan Pakatan Perak di bawah teraju Ahmad Faizal Azumu.

“Untuk pengetahuan, kesemua borang tersebut hanya akan diserahkan kepada PPBM sebagai salah satu proses utama sebelum tapisan dijalankan ke atas bekas-bekas ahli UMNO termasuk saya pada hari tersebut, dan bukannya keahlian tersebut berkuatkuasa serta-merta,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, Zainol bagi pihak 100 ahli UMNO yang menyerahkan borang menyertai PPBM pada hari tersebut ingin menekankan dengan jelas bahawa Ahmad Faizal sama sekali tidak mengetahui dengan lebih awal mengenai program tersebut kerana ia tidak berada dalam jadual beliau.

Malah beliau turut terharu dengan kelapangan Ahmad Faizal untuk turut serta dalam majlis pengumuman berkenaan.

“Berkenaan dengan kenyataan mengenai penerimaan sesetengah mantan pimpinan tertinggi atau bekas ADUN Perak, saya mengambil maklum bahawa MB telah menyatakan pendirian beliau kerana saya yakin semua suara serta pandangan rakyat di semua lapisan akan diambil kira dengan sebaiknya.

“Saya, menghormati tindakan MB selaku Pengerusi PPBM Perak merangkap Pengerusi Pakatan Harapan yang pastinya telah diteliti dari semua aspek berkenaan dengan penyerahan keahlian PPBM, untuk kesejahteraan parti politik serta perbincangan pendapat secara matang di masa hadapan.

“Segala peristiwa lampau atau perasaan tidak senang terhadap kepimpinan lalu diharap menjadi penguat semangat dan iktibar kita. Kita jadikan misi kita iaitu sentiasa berkhidmat demi rakyat dan peristiwa perit 2009 sebagai tonggak utama perjuangan, bukannya pemisah.

“Adalah menjadi harapan saya, alangkah eloknya jika sebarang percanggahan pendapat atau perbincangan politik diutarakan kepada pimpinan tertinggi Pakatan Harapan selepas ini kerana saya yakin suara-suara parti komponen merupakan tulang belakang pada hari ini dan pastinya didengari dengan rendah hati untuk dipertimbangkan.

“Saya, sekali lagi menegaskan bahawa majlis tersebut adalah inisiatif saya sendiri tanpa mengetahui MB akan singgah hadir menyertainya dan memberi suntikan semangat beliau,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");