Berita Hari Ini

Sebagai Bekas Pelakon, MP Lembah Pantai Sedia Perjuangkan Nasib Artis

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menjelaskan sesi pertemuannya bersama anak seni pada Rabu bukan untuk melobi sebagai calon menteri bagi kementerian berkaitan kesenian.

Fahmi, 37, berkata dia tidak kisah jika tiada jawatan dalam kerajaan namun hanya ingin memperjuangkan nasib penggiat seni tempatan.

“Tidak ada isu melobi diri untuk jadi menteri. Jadi ahli parlimen atau tidak, itu bukan keutamaan saya.

“Apa yang penting niat saya mahu memperjuangkan nasib anak-anak seni. Lagi pun majlis ini bukan saya yang anjurkan tapi saya dijemput untuk hadir.

“Bagi saya, alangkan baik semua wakil rakyat berkumpul dalam pertemuan sebegini dengan penggiat seni,” kata Fahmi kepada mStar.

Antara selebriti yang turut hadir ialah Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, Datuk Farid Kamil, Deja Moss, Sharifah Amani, Iedil Putra, Safura, Fauziah Nawi, Erwin Dawson dan Tam Suhaimi.

Fahmi ditemui pada majlis pertemuan dan ramah mesra anak-anak seni anjuran Dapoq Che Jun, di restoran berkenaan di Bangsar di sini.

Dalam pada itu, Fahmi mencadangkan agar Kogres Kesenian Kebangsaan diwujudkan seperti yang pernah diusahakan pada tahun 1970-an.

Selain itu, beliau juga akan berusaha untuk menguruskan dan mengstrukturkan semula dana kesenian yang sedia ada.

“Harapan saya mahu mewujudkan sebuah Kongress Kesenian bagi mengumpulkan anak-anak seni yang mana mereka bebas menyuarakan apa sahaja masalah dan idea untuk kemajuan industri.

“Sebelum ini ramai penggiat seni dan kenalan artis saya menyuarakan pendapat dan masalah mereka namun tidak diendahkan daripada pihak terdahulu.

“Pihak saya juga akan mengkaji semula pengurusan dana kesenian yang sedia ada. Mungkin menteri terdahulu bukan datang dari latar belakang seni disebabkan itu mungkin beliau tidak memahami keadaan industri,” ujarnya.

Fahmi mula aktif dalam pementasan teater sejak tahun 2001 dengan mengarahkan sebuah teater bertajuk Lebih Kecoh yang dipentaskan di Actors Studio, Dataran Merdeka.

Beliau juga pernah menjadi salah seorang pelakon menerusi drama bersiri Gol & Gincu pada 2006.

Dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu, Fahmi yang bertanding menerusi tiket Pakatan Harapan memenangi kerusi Parlimen Lembah Pantai menewaskan Fauzi Abu Bakar (PAS) dan Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (Barisan Nasional) dengan majoriti 5,598 undi.-Mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");