Berita Hari Ini

Sebutan semula kes rasuah Guan Eng 30 Julai

GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan 30 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng, dan ahli perniagaan, Phang Li Koon.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail menetapkan keputusan itu selepas mengambil kira permohonan pihak peguam kedua-dua tertuduh yang mahu menjalankan proses representasi ke atas kes berkenaan.

“Perkembangan terbaru kes ini tidak perlu cakap lebih dan Guan Eng serta peguamnya, Gobind Singh Deo akan mengangkat sumpah bagi jawatan menteri masing-masing.

“Peguam juga memohon supaya perbicaraan kes ini ditangguhkan kerana mereka mahu membuat representasi kepada Peguam Negara baharu dan mahkamah tidak boleh tahan sekiranya pihak peguam tertuduh mahu menjalankan proses berkenaan,” katanya.

Terdahulu, peguam kedua-dua tertuduh memohon kepada mahkamah untuk menangguhkan perbicaraan kes terbabit bagi memberi laluan kepada proses representasi di hadapan Peguam Negara baharu yang dijangka dilantik Julai depan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud, memaklumkan mahkamah bahawa pasukan pendakwaan bersedia meneruskan proses perbicaraan kes terbabit, selain enggan mengulas mengenai proses representasi itu.

Guan Eng diwakili peguam Ram Karpal Singh dan RSN Rayer, manakala Li Koon diwakili Datuk V Sithambaram dan Rueben Kumar, dan pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya .

Bagaimanapun, Guan Eng dan Gobind tidak hadir pada sesi pengurusan kes hari ini.

Sebelum ini, perbicaraan kes rasuah berkenaan ditangguh bagi membolehkan Guan Eng membuat persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn di sini, bawah nilai pasaran.

Bagi dua pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");