Perak Hari Ini

Semangat Kita Tidak Luntur – Saarani

IPOH: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, berkata bilangan ahli menghadiri mesyuarat cawangan parti sedang berlangsung di negeri ini, cukup memberangsangkan bersama semangat untuk bangkit semula.

Malah, katanya, sesetengah mesyuarat cawangan kali ini mencatat kehadiran lebih ramai berbanding tahun lalu, sekali gus membuktikan semangat ahli UMNO tetap kental walaupun pentadbiran negara dan negeri ini jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH).

“Semangat kita tidak luntur sebab UMNO di Perak adalah parti yang kuat. Ahli parti nampak bersemangat menghadiri mesyuarat cawangan masing-masing, bukan di kawasan saya sahaja tetapi seluruh Perak.

“Walaupun buat (mesyuarat) pada bulan puasa, tiada makan minum, kehadiran sangat memberangsangkan. Malah, ada yang mencatat kehadiran lebih ramai berbanding mesyuarat lalu. Ini mungkin kerana semangat mereka untuk bangkit semula,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Beliau yang juga bekas EXCO kanan kerajaan negeri bawah Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), mengulas perjalanan mesyuarat cawangan UMNO di Perak.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO menetapkan tarikh persidangan cawangan, termasuk pergerakan sayap, berlangsung dari 19 Mei hingga 10 Jun depan.

Saarani berkata, pemimpin dan ahli UMNO menerima hakikat kekalahan BN tetapi ia bukan penamat perjuangan, sebaliknya mereka akan berusaha memperkukuhkan parti.

“Dalam konteks Perak, UMNO sebenarnya kuat. Kita menang 27 kerusi (Dewan Undangan Negeri/DUN), malah bagi kerusi Parlimen, BN menang 11 dengan 10 daripadanya diraih UMNO.

“Oleh itu, kita akan mengekalkan kekuatan berkenaan dan juga melihat di mana kelemahan. Insya-Allah, kita akan kembali,” katanya.

Beliau berkata, semua pemimpin dan wakil rakyat UMNO akan terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing.

“Saya mendapat laporan, mereka (wakil rakyat) turun (ke kawasan), itu tradisi UMNO.

“Walaupun peruntukan tidak lagi seperti dulu, kita tetap memberi khidmat,” katanya.

Pada PRU-14, PH memenangi 29 kerusi DUN di Perak, berbanding BN (27) dan PAS (tiga).

PH berjaya membentuk kerajaan negeri menerusi majoriti mudah 31 kerusi selepas mendapat sokongan dua ADUN BN.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");