Berita Hari Ini

Sembelih lembu demi calon BN

BESUT – Seorang pesawah dari Kampung Gong Terap, dekat Alor Lintah, di sini, sanggup menyembelih seekor lembu kesayangan bernilai kira-kira RM5,500 semata-mata kerana penyandang kerusi Dun Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof sekali lagi dicalonkan di kerusi berkenaan.

Mustaffa Hassan, 56, berkata, dia telah memasang niat tersebut sejak lima bulan lalu untuk menyembelih seekor lembu peliharaannya jika Muhammad Pehimi dicalonkan semula.

Hasrat tersebut turut dinyatakan sendiri kepada Muhammad Pehimi yang menziarahi penduduk di kampungnya sebelum Dewan Rakyat dibubarkan.

“Saya beritahu dia, kalau Datuk (Muhammad Pehimi) tercalon lagi, saya nak sembelih lembu seekor dan Datuk sendiri kena mari sembelih,” katanya yang menternak kira-kira 15 ekor lembu di samping bersawah.

Mustaffa yang turut mengadakan majlis kesyukuran berkata, hasratnya akhirnya tercapai dan Muhammad Pehimi sendiri menyembelih lembu tersebut berhampiran rumahnya, semalam.

Mustaffa mengakui apa yang dilakukan adalah ikhlas kerana mengagumi kepimpinan Muhammad Pehimi yang begitu cakna kepada rakyat khususnya petani sejak 10 tahun lalu.

“Saya buat ikhlas setelah kawan-kawan petani lain turut menyokong hasrat saya apatah lagi saya tidak mengharapkan apa-apa pun dan saya hanya orang kampung biasa, tidak ada jawatan dalam parti,” katanya.

Malah Mustaffa turut memasang niat untuk menyembelih tiga ekor lagi lembu peliharaannya sekiranya Muhammad Pehimi diumumkan menang dalam PRU14 nanti.

Menurutnya, dua daripada tiga ekor lembu itu nanti akan dimasak untuk kenduri kesyukuran manakala seekor akan disedekahkan dagingnya kepada orang ramai.

“Saya telah lama mengenali Muhammad Pehimi sebagai wakil rakyat kerana dia sering turun padang namun hubungan saya tidak begitu rapat memandangkan saya hanya pesawah biasa tetapi hakikatnya saya amat mengaguminya,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");