KUANTAN – Calon P083 Kuantan, Fuziah Salleh mencabar calon lawannya dari BN, Datuk Andrew Wong Kean untuk berdebat secara terbuka berhubung dakwaan pemimpin MCA itu bahawa bandar Kuantan tiada membangun dalam tempoh 10 tahun, sejak dinaungi pembangkang.
Katanya, perdebatan itu adalah kaedah terbaik untuk kedua-dua pihak mengulas dakwaan terbabit secara terbuka dan warga Kuantan dapat mendengar penjelasan berhubung perkara terbabit.
“Saya sudah berapa kali mengajak Andrew untuk bersemuka sebelum hari penamaan calon lagi.. tapi beliau (Andrew) menolak.. Kalau ikutkan saya memang nak debat dan jelaskan.. biar orang ramai dengar dan nilai mengenai isu terbabit.
“Jangan hanya berani cakap pada media saja tetapi tak berani untuk bersemuka… Jadi Andrew sila ‘gentleman’.. saya ini perempuan jangan takut dengan saya.. biar rakyat nilai… dan ini adalah kaedah demokrasi,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat Khidmat Dun Semambu.
Sebelum ini, Andrew mendakwa bandar Kuantan sudah 10 tahun tidak dibangunkan disebabkan berada di bawah kuasa pembangkang, justeru rakyat perlu bangkit untuk berubah.
Fuziah berkata, bukan isu pembangunan di bandar Kuantan sahaja mahu diperdebatkan, sebaliknya isu Lynas juga ingin di bahaskan dengan calon dari BN itu.
Jelasnya, ini kerana Andrew mendakwa aktiviti Lynas adalah selamat, bagaimanapun beliau menganggap perkara tersebut belum selesai kerana terdapat janji yang belum ditunaikan oleh kerajaan BN.
“Ini soal janji melibatkan tapak kekal pembuangan sisa radio aktif dan penghantaran sisa itu ke Australia. Jadi saya boleh terangkan kepada rakyat kenapa kita tak setuju dengan aktiviti Lynas ini.
“Jadi seeloknya ada perdebatan yang boleh memperjelaskan semua isu dan sekarang tidak langsung amalan demokrasi dapat disuburkan,” katanya.
-Sinar Harian