Perak Hari Ini

“Tak Semua Anak Datang, Bawa Pulang Ibu Bapa Mereka Berpuasa, Beraya Bersama”

LAHAT: “Seminggu sebelum tibanya bulan Syawal, kami akan menghubungi waris untuk membawa pulang mereka beraya bersama-sama anak dan cucu namun, bukan semua dapat hadir.”

Demikian luah Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Rumah Orang-Orang Tua Islam Titian Abadi (PEKITA),  Ahmad Wan Chik, 55, ketika diminta berkongsi pengalamannya selama lapan tahun menguruskan rumah tersebut, dekat sini.

Katanya, jika ditanya kesemua 25 orang penghuni rumah tersebut, pastinya mereka menyatakan hasrat mahu pulang berpuasa dan menyambut Hari Raya Aidlifitri bersama keluarga.

Ahmad juga tidak menafikan terdapat warga emas di PEKITA yang hanya mampu beraya di rumah ini semenjak lima dan enam tahun lalu.

“Banyak cabaran yang kami hadapi namun, apa yang penting sekali ialah keikhlasan saya dan isteri serta pembantu-pembantu lain dalam menjaga warga emas ini dengan sebaik mungkin.

“Kami sedar yang rumah ini agak sempit. Bilik air juga kurang selesa. Tetapi, ini sahaja yang kami mampu lakukan,” katanya.

Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri Perak sudah pun meluluskan permohonan tanah untuk pihaknya membina sebuah rumah baharu yang lebih selesa namun, disebabkan dana yang kurang mencukupi, Ahmad terpaksa menggunakan rumah yang sedia ada.

“Memang kami bercita-cita nak beri keselesaan kepada warga emas ini namun, mungkin rezeki kami belum tiba,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu siri lawatan  tanggungjawab sosial korporat (CSR) Hospital Pakar KPJ Ipoh bersempena bulan Ramadan di PEKITA, dekat sini, pada Jumaat.

Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Ipoh, Yusmah Salleh yang ditemui berharap agar kehadiran pihaknya bersama kakitangan sekitar lebih 20 orang, mampu merawat kesunyian warga PEKITA.

“Ini merupakan CSR pertama kami di sini. Kebiasaanya kami akan buat di rumah-rumah anak yatim. Saya terpanggil untuk meraikan ibu dan ayah-ayah di sini, memandangkan kemungkinan ada anak-anak yang tidak dapat hadir bersama mereka,” katanya dengan nada sebak.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan kepada PEKITA  berbentuk duit raya dan barangan makanan asas.

Difahamkan rumah tersebut didiami warga emas yang berusia sekitar 40an sehingga 91 tahun.

Orang ramai yang ingin menyampaikan sumbangan kepada PEKITA, anda boleh menghubungi Ahmad ditalian 013-479 3223 atau isterinya, Zurina Alias ditalian 017-551 9570.

Sumbangan dana juga boleh disalurkan ke akaun Bank Muamalat PEKITA dinombor 08040003058715.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");