Berita Hari Ini

UMNO, BN Terbuka Sebarang Rundingan

KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersedia untuk mengadakan sebarang rundingan dengan sesiapa saja bagi pembentukan kerajaan atau bersama sebagai pembangkang, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Presiden UMNO yang kini menjalankan tugas Presiden parti itu berkata, bagaimanapun setakat ini, parti belum membuat sebarang perundingan dengan mana-mana parti untuk bergabung atau menjalinkan kerjasama.

“Kita terbuka untuk sebarang rundingan dan jika ada perundingan nanti, sebarang keputusan dibuat apabila mendapat persetujuan bersama parti komponen BN dan UMNO,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di sini, hari ini.

Mesyuarat itu adalah yang pertama selepas beliau diberikan tanggungjawab menjalankan tugas Presiden UMNO berikutan peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak, Sabtu lalu.

Petang ini, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan Ketua Bahagian UMNO dan akan disusuli mesyuarat dengan semua Ahli Parlimen UMNO.

Ahmad Zahid turut menegaskan dalam sebarang rundingan, kekuatan parti terus digarap dan kepentingan BN serta UMNO terus dijaga.

Pada masa sama, beliau menafikan mengadakan pertemuan dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Rehabilitasi Cheras seperti dilaporkan sebuah blog semalam.

Mengenai mesyuarat MT UMNO, beliau berkata mesyuarat merakamkan penghargaan kepada Najib di atas kepemimpinan yang baik.

Katanya, MT UMNO juga menerima pelantikan beliau menjalankan tugas Presiden UMNO dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO.

“MT juga mengambil maklum keputusan pilihan raya yang lalu dan menerima hakikat serta bertanggungjawab dengan kekalahan itu.

“Seramai 54 Ahli Parlimen UMNO daripada 78 ahli Parlimen BN memenangi pilihan raya kali ini. Di Sarawak, semua 19 ahli Parlimen kekal, manakala di Sabah semua kekal kecuali seorang daripada parti UPKO keluar parti, “katanya.

Sementara itu, beliau berkata mesyuarat UMNO cawangan akan diadakan pada bulan puasa ini.

Mengenai pemilihan parti, beliau katanya perkara itu tidak dibincangkan.

Mengenai desakan supaya pemimpin UMNO ditukar dan diberikan pemimpin muda berusia bawah 60 tahun, beliau berkata perkara itu juga tidak dibincangkan.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");