Berita Hari Ini

Undi Dengan Ikhlas, Ikut Naluri

SHAH ALAM – Bekas menteri Kabinet, Tan Sri Syed Hamid Albar mengingatkan kepada pengundi agar mengundi dengan hati yang ikhlas untuk perubahan positif pada 9 Mei ini.

Beliau berkata, undian perlu dibuat mengikut naluri dan suara hati serta menggunakan kebijaksanaan dan pertimbangan yang rasional.

“Sebagai pengundi, kita tidak patut membantu mereka yang sudah sedia kuat. Jangan sesekali terperangkap dalam situasi ini.

“Undilah untuk mereka yang berintegriti, yang dihormati, telus, amanah dan yang akan bekerja keras serta boleh dipercayai, kerana kualiti-kualiti ini akan menjadi asas kepada kerajaan yang mereka wakili,” katanya dalam kenyataan, hari ini, memetik laporan Sinar Harian.

Menurutnya, maksud demokrasi yang sebenar ialah kebebasan memilih sesiapa sahaja yang mampu menggerakkan aspirasi menjadi realiti dan bukan setakat janji kosong melalui kempen dengan slogan-slogan dan manifesto.

“Kita seharusnya menghormati mereka yang mempunyai kuasa, namun kita tidak patut gentar terhadap mereka.

“Fikirkanlah tentang masa depan dan fahamilah bahawa keputusan yang akan anda buat pada 9 Mei ini tidak hanya memberi kesan kepada lima tahun akan datang, malah ia akan menjadi titik rujukan untuk tahun-tahun kemudiannya,” katanya.

Beliau berkata, penentuan masa depan negara terletak pada tangan rakyat dan mereka perlu mengundi dengan bijak.

“Perjalanan sehingga ke hari ini penuh dengan pelbagai liku, namun saya percaya jika kita benar-benar bersatu berasaskan objektif bersama dan mempertahankan perjuangan kita demi keadilan dan kehormatan, Insya-ALLAH, ini mampu menumpaskan penipuan, pembohongan dan pemalsuan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");